Sekolah-sekolah bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) kini bermula pukul 8 pagi, berbanding 7.30 pagi di sekolah kelolaan kementerian.
Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan yang diambil sejak tiga tahun itu mendapat respon positif ibu bapa.
"Waktu tersebut lebih sesuai kerana memberi ruang lebih selesa kepada ibu bapa sekali gus mengelak suasana kelam kabut aliran trafik pada waktu pagi.
"Pertemuan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan disusuli pertemuan barisan exco dengan menteri-menteri berkaitan bidang tugas masing-masing," katanya ketika menjawab soalan tambahan Abdul Rahman Yunus (Pas-Pasir Tumbuh) dalam sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.
Mohamed Fadzli yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Temangan berkata dalam pertemuan dengan menteri pendidikan nanti pihaknya bukan sekadar mahu mendapatkan pandangan, malah akan memberi pandangan kepada pusat bagaimana menambah baik sistem pendidikan negara.
"Antara cadangan kita ialah supaya kementerian bukan setakat mengkaji kasut sekolah tapi mengkaji waktu persekolahan bagi memberi ruang lebih selesa kepada ibu bapa," katanya
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menjelaskan langkah kerajaan negeri menukar waktu persekolahan sekolah-sekolah YIK kepada bermula jam 8 pagi sebelum ini sudah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan negeri.
"Kita maklumkan keputusan menukar waktu persekolahan ini untuk pengetahuan jabatan dengan harapan semoga sekolah-sekolah di bawah kementerian juga dapat bersama kita," katanya.
No comments:
Post a Comment