Saturday, February 10, 2018

AMANAH yakin pemenjaraan Rafizi, Johari bakal jadi obor ledakan rakyat tolak BN

AKMAL HAZIQ

AMANAH yakin pemenjaraan Rafizi, Johari bakal jadi obor ledakan rakyat tolak BN
Parti AMANAH Wilayah Persekutuan yakin pemenjaraan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad akan menjadi obor motivasi kebangkitan dan ledakan rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

AMANAH menyifatkan Rafizi dan Johari sebagai lilin pembakar diri sendiri demi menyedarkan kerajaan dan rakyat tentang kebobrokan beberapa kerat pemimpin BN memanipulasikan dana negara untuk kepentingan peribadi yang menyimpang daripada objektif sebenar, Timbalan Pengerusinya, Tarmizi Mohd Jam dalam satu kenyataan.

“AMANAH Wilayah Persekutuan merakamkan rasa simpati yang amat sangat kepada Rafizi Ramli dan Johari Mohamad kerana dijatuhkan hukum penjara dua tahun setengah setelah didapati bersalah melanggar Akta Bank dan Intitusi Kewangan kerana membocorkan akaun National Feedlot Corporation (NFC), syarikat milik keluarga Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

“Hukuman penjara 30 bulan itu sebenarnya mengukuhkan lagi persepsi awam bahawa pemberi maklumat (whistleblower) di negara ini tidak dilindungi meskipun peranan mereka mustahak dalam mendedahkan skandal jenayah termasuk rasuah dan sekali gus, ia sebagai ‘mesej salah’ kepada rakyat dan dunia khususnya berhubung pemberi maklumat,” kata beliau.

Abim gesa pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

AKMAL HAZIQ

Abim gesa pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat sabitan dan hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad atas kesalahan mendedahkan maklumat perbankan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Keputusan ini pasti akan menggusarkan rakyat awam untuk mendedahkan maklumat tertentu yang difikirkan mengandungi unsur-unsur rasuah serta penyalahgunaan dan penyelewengan dana awam oleh pihak tertentu, kata Presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, Abim mengamati keputusan Mahkamah Sesyen adalah terhad hanya dalam ruang lingkup untuk mengaplikasikan undang-undang sedia ada khususnya peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 [Akta 372] atau lebih dikenali sebagai BAFIA, dan ia harus dihormati.

Justeru, langkah yang lebih proaktif di peringkat Kerajaan sebagai badan eksekutif serta institusi Parlimen sebagai organ legislatif perlu untuk mengangkat dan mendaulatkan undang-undang sedia dalam melindungi pemberi maklumat atau whistleblower termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711], jelasnya.

Mukhriz sahkan bertanding di Kedah

 Mukhriz
ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan akan bertanding di Kedah pada PRU14, sekaligus menepis ura-ura mengatakan beliau bakal bertanding di Selangor.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kedah tidak menolak kemungkinan bertanding di dua kerusi, Dun dan Parlimen serentak, namun enggan dedahkan kawasan yang akan ditandinginya.

“Apa yang diuarkan termasuk laporan sebuah media perdana baru-baru ini, saya andaikan ‘mabuk ketum’ kut. Tiada sebab saya nak bertanding di negeri lain selain Kedah. Saya bukan bertapak di Selangor sebagai orang politik, jadi tak masuk akal dakwaan itu,” katanya.

Menurut Adun Ayer Hitam itu, beliau tidak sedikit pun berasa gusar atau bimbang kalah jika memilih kerusi di Kedah.

“Gerenti Kedah! Kerusi mana kenalah tunggu dan lihat,” katanya berseloroh.

Istana lama bukan milik Raja Bersiong


Istana lama bukan milik Raja Bersiong
ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah menafikan istana lama di Bukit Tinggi, Kepala Batas ialah istana Raja Bersiong.

Pengerusinya, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, orang awam sering salah faham bahawa istana terbiar berusia ratusan tahun itu milik Raja Bersiong.

“Sehingga kini masih ada salah sangka, tapi dakwaan diperkatakan itu adalah sama sekali tidak benar,” katanya.

Wan Shamsuddin menjelaskan, Raja Bersiong tidak wujud dan hanya watak rekaan menggambarkan seorang raja yang kejam dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

“Ada tempat lama dikaitkan dengan Bersiong. Namun kesahihan diragui dan tidak wujud dalam pemerintahan raja Kedah, sebaliknya dicipta dalam buku. Antaranya kubur Raja Bersiong di Kuala Muda, tiang bendera Raja Bersiong di Tikam Batu dan keris di Kampung Kota Bukit, Jeneri," katanya.

Sungai Biru adalah kawasan larangan

ALOR SETAR
ALOR SETAR - Keindahan Sungai Biru terletak berdekatan Gunung Keriang, di sini, yang diumpamakan lautan Kepulauan Maldives hingga menjadi tumpuan ramai termasuklah orang luar adalah kawasan larangan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Baharuddin Abdullah berkata, kawasan sungai berkenaan adalah kawasan dilarang masuk kepada orang awam.

"Sebenarnya, kejadian Sungai Biru itu berlaku di sebahagian dari tempat yang dikorek untuk perlaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit.

"Jadi, kita melarang orang awam menceroboh masuk ke kawasan sungai disebabkan tapak berkenaan masih diklasifikasikan sebagai kawasan pembinaan," katanya.

Baharuddin berkata, sebarang aktiviti termasuklah naik atas jambatan, terjun dari jambatan, berenang dan memancing turut dilarang dilakukan di kawasan sungai itu.

Untuk itu, katanya, pihak JPS Kedah telah mengambil langkah pencegahan dengan meletakkan beberapa papan tanda dan memasang pita pelekat di sekitar sungai.

Menurut beliau, dia menasihatkan orang awam tidak masuk ke kawasan larangan itu demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dari berlaku.

Ketika diminta mengulas lanjut kejadian luar biasa itu, Baharuddin berkata, keadaan Sungai Biru berkenaan berlaku disebabkan proses pemendapan sungai.

Tinjauan mendapati ada papan tanda larangan bahawa keadaan parit dalam, arus deras, tebing curam dan runtuh, jalan sempit, rosak dan licin ketika hujan diletakkan di tepi jalan masuk ke Sungai Biru.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan orang ramai tidak putus-putus mengunjungi Sungai Biru selepas keindahan air warna biru itu tular di laman sosial Facebook.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...