KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 29 Mac untuk mendengar permohonan ahli perniagaan, J Deepak bagi memasukkan nama bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 7 yang lain sebagai pihak ke-3 dalam kes saman difailkan keluarga penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam.
Peguam K Vinod, yang mewakili Deepak berkata anak guamnya selaku defendan dalam kes saman itu menyerahkan notis pihak ke-3 kepada semua individu berkenaan tahun lepas untuk memasukkan semula mereka sebagai pihak ke-3 dalam kes saman tersebut.
Selain Najib, 7 individu lain adalah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, adik Najib iaitu Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat.
Vinod berkata semua individu itu, yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu kecuali anak guamnya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi dan 3 anaknya.