Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V (kanan) menyerahkan surat cara pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) kepada Dr Mujahid pada istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara, semalam. - foto Bernama
IPOH - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Darah politik yang mengalir di dalam tubuh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sememangnya tidak dapat dinafikan apabila beliau bukan sahaja aktif dalam politik tanah air, malah di peringkat antarabangsa, sama seperti Allahyarham bapanya.
Mujahid, 52, yang baru dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar buat penggal ketiga pada PRU14 Mei lalu, merupakan anak kepada Mursyidul Am Pas yang pertama iaitu Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa.
Naib Presiden Amanah itu mula memenangi kerusi Parit Buntar pada PRU12 atas tiket Pas dan mempertahankannya pada PRU13 sebelum membuat kejutan menyertai Amanah yang ditubuhkan pada 2015 serta bertanding atas tiket parti itu pada PRU14 dan sekali lagi mencatat kemenangan.
Mujahid mengekalkan kemenangan di Parit Buntar pada PRU14 setelah mengalahkan calon BN, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan majoriti 3,098 undi.