Monday, August 6, 2018

Guan Eng minta Najib kemuka bukti gaji Arul Kanda lebih tinggi semasa bekerja di tempat swasta.

Lim Guan Eng
GEORGE TOWN - Menteri Kewangan Lim Guan Eng mahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan bukti pembayaran gaji RM5 juta kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Katanya, beliau mahu bekas perdana menteri menunjukkan bukti berkenaan agar rakyat Malaysia dapat mengetahui ke mana wang negara digunakan.

"Saya nak tanya bolehkah mantan perdana menteri tunjuk bukti bahawa Arul mendapat RM10 juta satu tahun dan RM5 juta untuk tempoh enam bulan, ini kerana beliau (Najib) menyatakan Arul mendapat gaji lebih tinggi semasa bekerja di tempat swasta.

"Jadi saya harap mantan perdana menteri boleh tunjuk bukti," katanya selepas sidang media filem ‘Rise Ini Kalilah’ di sini, hari ini.

Guan Eng turut membidas kenyataan bekas perdana menteri bahawa Arul banyak berkorban dan memberikan sumbangan terhadap 1MDB, sebaliknya Guan Eng berkata, 1MDB hanya sebuah syarikat yang rugi dan mempunyai hutang yang banyak.

"Dia (Arul ) korbankan apa, apa yang dia rugi, sebenarnya kita boleh lihat Arul untung RM5 juta dalam tempoh enam bulan dan ini ditandatangani oleh Najib sendiri. So apa kata bekas PM, kita bukan nak dendam, kita hendakkan akauntabiliti, mananya pergi wang negara mengapa kita hutang sampai RM50 bilion untuk skandal 1MDB.

Penganalisis: Kerjasama Umno-PAS ‘belum menjadi’ di Sg Kandis

PRK Sungai Kandis: Amaran Nik Aziz jadi kenyataan
SHAH ALAM: Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini jelas memperlihatkan bahawa “kerjasama” yang terjalin antara Umno dan PAS masih belum mampu menggugat penguasaan PKR di kawasan itu.

Meskipun calon BN Datuk Lokman Noor Adam bersungguh-sungguh memainkan sentimen Islam dan Melayu sepanjang 14 hari tempoh berkempen, namun ia belum cukup untuk mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan yang lebih 70% adalah orang Melayu.

Seruan pemimpin PAS kepada penyokong parti itu supaya menyokong calon BN pada PRK tersebut juga dilihat tidak cukup kuat menembusi “kekebalan” PKR, apatah lagi dengan keputusan parti itu (PKR) mempertaruhkan anak tempatan Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang jelas mempunyai “track record” bersih sebagai seorang pengetua maahad tahfiz.

Hasilnya, seramai 15,427 pengundi DUN Sungai Kandis sepakat memilih Mohd Zawawi sebagai wakil rakyat baru mereka berbanding 9,585 pengundi yang memilih Lokman Noor, sementara calon Bebas, K Murthy pula hilang wang deposit selepas hanya memperoleh 97 undi.

PRK ini bagaimanapun menyaksikan Mohd Zawawi memperoleh majoriti 5,842 undi lebih rendah berbanding undi diperoleh wakil rakyat lalu kawasan itu, Mat Shuhaimi Shafiei pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu 12,480 undi.

Pengundi Sg Kandis tampar muka Najib, Hadi

MALAYSIA DATELINE

Pengundi Sg Kandis tampar muka Najib, Hadi
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis semalam sebagai tamparan di muka buat Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, dalam PRK ini Najib Razak berkerja keras secara luar biasa dengan harapan keajaiban politik berlaku untuk membuatkan dirinya kembali popular dan mendapat sokongan ramai.

“Beliau juga berharap untuk menggunakan PRK Sg Kandis untuk memberitahu semua orang di negara ini, khususnya dalam kalangan pimpinan Umno bahawa beliaulah yang paling berkuasa dalam Umno.

“Tetapi Najib gagal teruk dalam kedua-dua usahanya itu kerana Lokman gagal mendapatkan 11,518 undi yang telah diperolehi calon Umno pada PRU14 lalu, kurang 1,933 undi daripada calon Umno-BN pada pilihan raya umum,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

MP PAS - PRK Sungai Kandis medan eksperimen Pas & Umno

PRK Sungai Kandis medan eksperimen Pas
KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis menjadi medan eksperimen Pas untuk melihat kecenderungan pengundi Melayu akan kerjasama antara Pas dan BN.

Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas (DPP) Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari Shaari berkata, ternyata pengundi dalam kalangan ahli Pas dan BN belum bersedia ke arah itu.

Menurutnya, walaupun keputusan Pas tidak bertanding di PRK Sungai Kandis menimbulkan polemik dan tanda tanya dalam kalangan ahli namun ekperimen itu penting bagi mendengar suara rakyat.

"Ini eksperimen Pas dengan Umno, nak tak nak PH kena ditewaskan. Walaupun nampak seperti nak jalinkan persefahaman dengan musuh-musih kita sebelum ini tapi ia bukan untuk kepentingan peribadi.

"Kena wala' (setia) dengan strategi Pas, jangan persoal dan perlu bersangka baik husnuzon dengan pemimpin, jangan tambah kekusutan kepada rakyat dan ahli," katanya dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan kali ke-33 di Dewan Aminuddin Baki Wisma Sejarah, di sini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, BN dilihat gagal membawa suara Melayu dan Islam dalam menarik sokongan rakyat.

Tiada sekolah agama, tahfiz di Kedah terlibat militan - Mukhriz

Tiada sekolah agama, tahfiz di Kedah terlibat militan
KODIANG - Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan jawatankuasa terdiri daripada pelbagai agensi untuk merangka strategi berkesan mengekang unsur militan daripada menyusup dalam institusi pondok dan tahfiz di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun tiada sekolah agama dan tahfiz di Kedah dikaitkan dengan pusat penyebaran dakyah militan, namun ia suatu keperluan susulan golongan muda terdedah kepada maklumat tanpa sempadan yang diperoleh daripada sumber internet.

Menurutnya, kebanjiran bahan propaganda itu disebar secara meluas dalam bentuk penerbitan video mahupun komunikasi menerusi laman sosial.

“Siasatan pihak berkuasa mendapati, tidak ada satu pun sekolah agama di Kedah dikesan mengajar perkara tidak sepatutnya, seperti mendorong warga pondok untuk jihad ke luar negara atau Syria. Antara unsur pengaruhi mereka adalah propaganda melalui internet,” katanya, selepas hadir Program Jalinan Kasih bersama warga pondok di Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah (Pondok Melele), hari ini.

Mukhriz berkata, antara yang dibimbangi mempengaruhi pemikiran anak muda adalah wujudnya klip video yang diterbitkan ala Hollywood, menggunakan kepakaran teknologi untuk menarik minat golongan itu.

Mukhriz minta Jakim salur segera bantuan sekolah agama

Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir
JERLUN – Kerajaan Kedah mahu bantuan pembangunan dan makanan kepada sekolah agama di negeri ini yang dijanjikan kerajaan terdahulu sebelum PRU14 pada Mei lepas disalurkan secepat mungkin.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ini kerana beberapa negeri lain telahpun mendapat bantuan tersebut yang disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) namun malangnya Kedah masih hanya 'memegang' replika cek yang disifatkan sebagai gimik PRU14.

"Saya lihat apa dilakukan kerajaan sebelum ini sangat-sangat tidak patut kerana hanya sekadar dapatkan publisiti tapi bantuan sebenar tidak sampai pun," katanya selepas merasmikan Majlis Ziarah Kasih bersama warga pondok di Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah Melele, Padang Sera hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata mahu berbincang dengan Jakim agar bantuan tersebut yang telah dijanjikan kerajaan terdahulu dapat dilunaskan secepat mungkin.

Mukhriz berkata, sepatutnya replika cek hanya digunakan untuk tujuan majlis dan ia perlulah disekalikan dengan cek sebenar bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam pembayaran.

EXCO Kedah - Teliti tahap keselamatan pelajar UniSHAMS

 Teliti tahap keselamatan pelajar UniSHAMS
KUALA KETIL - Exco Pendidikan Sumber Manusia akan meneliti beberapa langkah untuk meningkatkan aspek keselamatan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) yang tinggal di luar kampus.

Dr Salmee Said berkata, antara langkah boleh diambil ialah dengan menambah kemudahan asrama.

Katanya, pembinaan asrama tambahan bagaimanapun memerlukan tempoh beberapa tahun lagi dan perbincangan lanjut.

“Selain itu, sediakan tempat tinggal berhampiran UniSHAMS dengan adanya pengawal keselamatan yang melakukan pemantauan.

“Atau polis sentiasa pantau keselamatan pelajar di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Konvokesyen Wilayah Utara di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, UniSHAMS tadi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...