ARIF ATAN/April 5, 2018 12:55 pm 0

Ahli akademik berpendapat pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung sembilan khabar gembira kepada penjawat awam dan pesara kerajaan semalam berunsurkan tindakan politik.
Pensyarah dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pengumuman kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuatkuasa 1 Julai itu boleh menimbulkan persepsi bahawa ia gula-gula pilihan raya.
Menurutnya, ini kerana pengumuman hampir dengan pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan bertujuan meraih undi penjawat awam dan guru.
“Mungkin pengumuman Najib ini ambil kira faktor keluhan penjawat awam yang merasai bebanan peningkatan kos sara hidup, kerana bukan semua mereka menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Jadi ini peluang untuk raih sokongan daripada penjawat awam agar terus mendukung dan memastikan parti kerajaan terus mentadbir negara ini,” dipetik dari Sinar Harian.



