Sunday, February 25, 2018

'Bukan orang lain burukkan negara, tapi MO1'

Saya ambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menyalahkan tindakan sesetengah pihak memburukkan Malaysia di luar negara sehingga memberi kesan buruk kepada pasaran kerja anak-anak muda dalam negara.

Tidakkah Abdul Rahman sendiri sedar bahawa Malaysian Official 1 (MO1) sendiri yang tidak segan silu yang memperkenalkan Malaysia di mata dunia menerusi skandal 1MDB?

Salah satu penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Umno BN ialah tidak langsung mempedulikan tuntutan rakyat terhadap kebertanggungjawaban dalam urusan kewangan (fiskal) serta amalan ketelusan yang sangat diperlukan.

Hal ini terbukti apabila kerajaan yang ditadbir oleh Datuk Seri Najib Razak terus mengalami kejatuhan dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017, sekali gus membawa kesan buruk negara di mata pelabur - sama ada tempatan mahu pun antarabangsa.

Kerajaan harus sedar bahawa hampir separuh daripada jumlah pekerja menganggur di negara ini adalah golongan muda walaupun mereka hanya mewakili satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja Malaysia.

Walaupun tahap pendidikan tenaga kerja semakin meninggi, peluang pekerjaan yang wujud dalam ekonomi negara masih tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana yang kini dipelopori oleh warga asing.

Sekiranya untuk membolehkan anak muda Malaysia - terutama golongan siswazah - memperoleh gaji yang adil dan berpatutan, Pakatan Harapan akan membuat perubahan yang menyeluruh bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Antara perhitungan besar pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini adalah memilih kepimpinan dan kerajaan yang boleh mengeluarkan negara daripada amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa sebagai faktor utama yang telah menggagalkan negara untuk mencapai kedudukan negara maju.

DATUK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL ialah Setiausaha Agung PKR.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/413375#AvGGPuYfiMmRjmaf.99

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...