Friday, February 16, 2018

MB: Dokumen tanah Ijok sudah diserah pada SRPM

azmin
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah menyerahkan semua dokumen berkaitan isu tanah di mukim Ijok kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dokumen berkenaan diserahkan beberapa bulan sebelum ini berikutan laporan kepada SPRM yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta siasatan dilakukan terhadap isu itu.

“Kerajaan negeri telah memberi kerjasama penuh dan tunggulah hasil siasatan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kelmarin yang mendesak menteri besar memberi penjelasan berhubung apa yang disifatkan tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada 2 syarikat pada 2016.

Abdul Rahman berkata tindakan itu menjadi persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri pada 2013 dan 2014 dalam kes mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

Beliau dilapor mempersoal justifikasi Azmin tidak menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan kerajaan Selangor menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...