Wednesday, February 14, 2018

Parlimen mungkin dibubar lepas Chap Goh Meh membolehkan PRU14 diadakan

http://www.orangmuda.tv/wp-content/uploads/2016/06/18sungai_transformed.jpg
KUALA LUMPUR: Parlimen dijangka dibubarkan seminggu selepas Chap Goh Meh pada 2 Mac untuk membuka laluan supaya pilihan raya umum ke-14 dapat diadakan, mengikut laporan berita sebuah akhbar.

Chap Goh Meh diraikan pada malam ke-15 Tahun Baru Cina, yang jatuh pada 16 Februari.

Menurut The Sun, penganalisis politik percaya bahawa tempoh sesuai mengadakan pilihan raya umum semakin singkat dan meramalkan bahawa hari mengundi akan diadakan pada akhir bulan Mac atau awal April.

Prof Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata Parlimen perlu dibubarkan pada bulan depan kerana pilihan raya tidak boleh diadakan pada bulan Mei memandangkan ia adalah Ramadan dan bulan puasa bagi umat Islam.

“Bulan depan sangat sesuai untuk membubarkan Parlimen dan pada masa yang sama, pilihan raya perlu diadakan sebelum (bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dibebaskan dari penjara,” katanya kepada akhbar itu.

Dalam blog yang disiarkan pada 9 Februari, wartawan veteran Datuk Ahiruddin Atan, bagaimanapun, meramalkan bahawa pilihan raya itu tidak akan diadakan sebelum Mei kerana isu tanah Felda di Jalan Semarak yang masih belum selesai.

Katanya, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, pada 8 Februari lalu, mengumumkan keputusan lembaga itu untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk melakukan semakan perundangan berdasarkan laporan audit forensik yang telah disiapkan

“Penemuan oleh firma audit telah dikemukakan kepada PM tetapi penemuan ini tidak dikongsi dengan akhbar semalam. Shahrir enggan mendedahkan nama firma audit itu.

“Selain itu, jawatankuasa khas terbaru itu memerlukan tiga bulan untuk menyiapkan kajiannya, kata Shahrir. Sekarang bulan Februari, jadi tiga bulan akan membawa kita ke bulan Mei.

“Bulan suci Ramadan bermula pada pertengahan Mei dan Hari Raya bakal disambut pada pertengahan bulan Jun. Perlembagaan menetapkan bahawa PRU-14 mesti diadakan (selewat-lewatnya) pada bulan Ogos tahun ini.

“PM Najib (Razak) tidak mungkin mengadakan PRU jika isu tanah Felda di Jalan Semarak tidak diselesaikan sepenuhnya. Terlalu banyak menjadi pertaruhan,” katanya dalam blognya Rocky’s Bru.

Sementara itu, Prof James Chin juga menegaskan bahawa Anwar dijadual dibebaskan dari penjara pada awal bulan Jun.

“Pilihan raya perlu diadakan selepas Tahun Baru Cina dan juga sebelum Anwar dibebaskan dari penjara.

“Adalah berisiko (untuk BN) jika Anwar dibenarkan berkempen semasa pilihan raya,” kata Pengarah Institut Asia Tasmania, University of Tasmania itu, kepada The Sun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...