Thursday, February 22, 2018

Program BW2020 disabotaj?

Program BW2020 disabotaj?
ALOR SETAR - Program Bicara Wawasan 2020 (BW2020) yang sepatutnya berlangsung di sebuah hotel di sini terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana sewaan dewan hotel dibatalkan.

Pengarah BW2020, Dr Mahadi Mohamad berkata, program itu dijadualkan diadakan jam 8 malam pada 24 Februari depan di dewan sebuah hotel di Jalan Sultan Badlishah, di sini.

“Bagaimanapun, pihak kami mendapat maklumat bahawa sewaan tempat program dibatalkan pihak atasan kerajaan negeri atas alasan ia berunsur politik,” katanya.

Kata beliau, pihaknya kesal kerana surat kelulusan dari polis telah diperoleh, malah duit deposit sewaan tempat juga sudah dibayar kepada pihak hotel.

Lebih mengecewakan, kata Mahadi, pihak penganjur membuat segala persiapan dan jemputan BW2020 di Bandaraya Alor Setar itu.

Mahadi menjelaskan, BW2020 diadakan semata-mata membincangkan polisi dan hala tuju Wawasan 2020 yang diilhamkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini katanya, BW2020 pernah dilaksanakan di Cyberjaya.

“Seperti mana TN50, bicara ini bukan retorik mahupun ceramah politik. Hanya kerana menampilkan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bicara ini mendapat arahan pembatalan dari pihak tertentu yang panik tanpa sebab yang munasabah,” katanya.

Kini, menurut Mahadi, pihaknya sedang berusaha mencari dewan baru bagi meneruskan BW2020 yang dilihat mampu memberi manfaat kepada rakyat Kedah.

BW2020 yang dirancang diadakan Sabtu depan bakal menampilkan beberapa ahli panel seperti Mukhriz, Tan Sri Sanusi Junid, Akmal Rizal Rakhli dan Ustaz Hafiz Salehudin.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Khalid Salleh berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan penganjur program berkaitan perkara itu.

Tambahnya, pihak penganjur juga diminta membuat aduan langsung kepada PKNK berhubung dakwaan bahawa hotel di bawah perbadanan dipercayai membatalkan sewaan dewan atas alasan program berunsur politik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...