Tuesday, March 6, 2018

BN Kedah dakwa manifesto Gagasan Sejahtera ciplak idea kerajaan negeri

 BN Kedah dakwa manifesto Gagasan Sejahtera ciplak idea kerajaan negeri
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mendakwa manifesto untuk pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang dilancarkan oleh Pas-Gagasan Sejahtera (PGS) baru-baru ini di Kedah hanyalah sekadar menciplak idea kerajaan negeri yang dipimpin oleh Umno dan BN.

Kata Ahmad Bashah lagi, pelancaran manifesto tersebut membuktikan PGS tidak berkeupayaan untuk mencari idea baru kecuali meniru apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan beliau.

“Mereka ketandusan idea dan tidak mampu untuk membawa suatu pembaharuan bagi menawan hati rakyat.

“Sebahagian besar dari tawaran dalam manifesto PGS adalah idea ‘recycle’ yang dikitar semula.

“PGS meniru apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Umno-BN di Kedah kerana yakin apa yang dilakukan mendapat sambutan rakyat, ” ujarnya lagi.

Selain dari itu kata beliau lagi, tawaran PGS untuk membangunkan Sungai Kedah sebagai produk pelancongan merupakan idea kerajaan negeri yang ditiru.


Malah tegasnya, cadangan pemberian 20 meter padu air secara percuma kepada pengguna miskin dilaksanakan oleh kerajaan negeri, sebaliknya PGS menjadikan ia sebagai tawaran dalam manifesto PRU mereka.
“Mereka juga meniru idea kerajaan negeri apabila bercadang untuk mewujudkan pelbagai dana bagi membantu pelajar sedangkan kerajaan negeri telah pun melaksanakannya melalui Tabung Tengku Mahmud.

“Sebenarnya apa yang PGS cadangkan tidak mempunyai suatu tawaran yang menarik hati rakyat dan pengundi.

“Meniru dan menciplak apa yang dibuat oleh kerajaan negeri membuktikan PGS hanya sekadar menawarkan tawaran yang telah pun dibuat oleh kerajaan negeri, ” tegasnya lagi.

Sehubungan itu kata Ahmad Bashah lagi, manifesto yang ditawarkan oleh PGS tersebut tidak ada sesuatu yang baru serta tidak perlu memberi sokongan kepada mereka menjelang PRU yang akan datang.

“Jika mereka cadang dan beri tawaran sekali pun, apakah PGS mampu untuk laksanakan manifesto tersebut.

“Ataupun mereka hanya sekadar menabur janji, tetapi tidak mampu untuk merealisasikan apa yang ditaburkan.

“PGS tidak mempunyai idea dan tawaran dalam manifesto PRU 14 tersebut hanyalah sekadar menarik sokongan, ” tambahnya lagi.

Semasa melancarkan manifesto PGS PRU ke 14 minggu lalu mereka turut menjanjikan untuk membangunkan sebuuh kerajaan yang telus, bersih, kehidupan harmoni, kesejahteraan ummah serta pelbagai janji lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...