Monday, March 12, 2018

Dibatalkan pendaftaran oleh ROS adalah lebih baik bagi Bersatu

 http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/11/ppbm-ros1.jpg

Hakikat bahawa Bersatu mungkin akan dibatalkan pendaftarannya menjelang hari-hari terakhir PRU 14 tidaklah memeranjatkan sebenarnya.

Berikutan notis 30 hari yang diberikan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS kepada Bersatu dan kegagalan memberi jawapan serta menyerahkan dokumen yang dikehendaki iaitu minit mesyuarat cawangan dan bahagian, akan memungkinkan parti itu dibatalkan pendaftarannya, tiada apa-apa yang pelik dalam tindakan terbaru ini.

Melihat kepada pelbagai karenah dan layanan yang ditunjukkan oleh RoS terhadap Bersatu sejak ia dipimpin oleh Ketua Pengarah yang bernama Surayati Ibrahim, langkah pembubaran itu, malah boleh dianggap sudah memang dijangkakan.

Agak kelakar sebenarnya apabila RoS meminta Bersatu menyerahkan minit mesyuarat cawangan dan bahagian sedangkan kelulusan belum diberikan sepenuhnya, manakala yang sudah diluluskan pula belum lagi mencapai usia setahun tempohnya.

Ia seolah-olah suatu alasan yang sengaja didatangkan untuk membatalkan parti itu, setelah sekian lama berdiam diri dan tidak memberi apa-apa jawapan kepada pelbagai permintaan yang dikemukakan.

Tindakan ini tidak lain ialah untuk terus melemahkan Bersatu dan agar parti itu bersama Pakatan Harapan tidak lagi dapat menjadi pilihan pengundi untuk menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Setelah pendaftaran Pakatan Harapan tidak menerima sebarang jawapan dan didiamkan begitu saja sehingga tindakan mahkamah terpaksa diambil terhadap RoS, langkah membatalkan pendaftaran Bersatu adalah pilihan yang paling munasabah bagi memberi kelebihan kepada UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasanya.

Semua ini adalah strategi yang sudah dijangka kerana hari demi hari, Najib Razak masih ketandusan sokongan rakyat di mana jangkaan awal bahawa Bersatu tidak mungkin mendapat sambutan ternyata meleset sama sekali.

Dalam erti kata lain, membatalkan pendaftaran Bersatu ini adalah juga sebagai tanda penyesalan kerana memberi kelulusan hanya dalam tempoh sebulan kepada parti itu sebelum ini.

Adakah dengan membatalkan pendaftaran Bersatu akan memudahkan lagi Najib memenangi PRU 14?

Harus diingat bahawa pertimbangan pengundi dalam pilihanraya kali ini ialah mahu menyingkirkan Najib, UMNO dan BN yang penuh skandal, masalah serta menyusahkan rakyat dan memberi peluang kepada kerajaan baru Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad yang pernah cemerlang selama 22 tahun dalam memberi kesejahteraan untuk mengambil alih teraju kerajaan.

Soal sama ada Bersatu dibatalkan pendaftaran dan Pakatan Harapan diberikan kelulusan atau tidak, bukanlah lagi suatu keutamaan atau perkara penting.

Ini kerana sebelum tindakan itu diambil oleh RoS atau sebelum ia difikirkan oleh UMNO dan BN yang semua orang faham sedang memperalatkan RoS untuk membantunya mengekalkan kuasa, Tun Mahathir sudah pun bertindak lebih awal dengan menyediakan “Pelan B” mengenainya.

Beberapa hari lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Tun Mahathir memberitahu, gabungan itu akan memutuskan penggunaan satu logo tunggal pada minggu depan bagi menghadapi BN dalam pilihanraya akan datang nanti.

Logo yang akan dipilih dan dipersetujui untuk digunakan ialah salah satu antara empat simbol parti yang ada dalam Pakatan Harapan – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Bermakna, jika logo PKR misalnya yang dipersetujui untuk digunakan, semua calon daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu akan menggunakan logo parti itu sebagai simbol tunggal dalam pilihanraya.

Dalam hal berkaitan, oleh kerana Bersatu sedang berdepan “hukuman mati” oleh RoS, logo parti itu sudah pasti bukan lagi suatu pertimbangan untuk dijadikan pilihan.

Makanya, sama ada Bersatu akan dibatalkan pendaftarannya atau Pakatan Harapan tidak diberikan kelulusan, ia tidak lagi menjadi perkara yang boleh memberi apa-apa kesusahan.

Hakikatnya bukan lagi logo Bersatu atau Pakatan Harapan yang akan digunakan oleh gabungan parti-parti pembangkang bagi merealisasikan perubahan dalam pilihanraya.

Yang penting, BN perlu dihadapi dengan satu logo yang tunggal, manakala jentera pilihanraya, semangat juang, jumlah ahli serta persiapan adalah sama seperti sebelumnya.

Malah, dengan Bersatu dibatalkan pendaftarannya oleh RoS, ia sama sekali tidak menyebabkan ahli-ahlinya kembali kepada UMNO, patah hati dalam perjuangan atau akan membuatkan rakyat hilang keyakinan kepada keperluan perubahan.

Selagi Tun Mahathir kekal mengetuai arus perubahan dan peneraju untuk menyelamatkan negara, keyakinan rakyat tetap sama dan tidak berubah.

Bahkan, tindakan RoS membatalkan Bersatu tidak mustahil akan melahirkan simpati yang lebih berganda kerana Najib, UMNO dan BN secara automatik dilihat sudah terlalu rakus, ganas dan menghimpit Pakatan Harapan sehingga rapat ke dinding semata-mata untuk memenangi pilihanraya.

Kesimpulannya, membatalkan pendaftaran Bersatu adalah lebih baik dan memudahkan lagi kejayaan perubahan yang memang menjadi dambaan.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 12 Mac 2018.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...