Friday, March 9, 2018

Generasi muda bakal warisi hutang kerajaan kleptokrasi kata Pemuda Amanah


KUALA LUMPUR: Matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dirangka bagi memenuhi aspirasi pembangunan dan kesejahteraan generasi muda akan datang tidak mampu dicapai tanpa reformasi pentadbiran secara menyeluruh dan telus.

Lebih membimbangkan, trend hutang kerajaan yang semakin meningkat lebih RM900 bilion saat ini selain hutang puluhan billion 1MDB akan membantutkan segala proses tranformasi nasional tersebut kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), lapor RoketKini.

“Reformasi tadbir urus perlu diangkat sebagai tunjang kepada landasan masa depan negara kerana keadaan ekonomi hari ini bukan sesuatu yang progresif, tetapi bakal membawa negara ke arah yang lebih regresif,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, langkah pertama ke arah pembinaan sebuah negara maju dan makmur menjelang tahun 2050 adalah memperbetulkan landasan sistem tadbir urus.



“Dengan hutang yang begitu tinggi dan pendapatan yang berkurangan, kerajaan tidak mempunyai kekuatan ekonomi untuk membangunkan aspirasi-aspirasi TN50 baik dari segi peningkatan kualiti kehidupan, pendidikan, infrastuktur dan pendapatan tinggi.

“Malahan, generasi muda dan akan datang bakal membayar hutang puluhan bilion 1MDB yang akan ditutup sedangkan hasil hutang tersebut dirompak sang penguasa di Putrajaya dan konco-konconya,” kata Faiz.

Selain itu ujarnya, kegagalan tadbir urus juga akan menyebabkan kerajaan terpaksa bergantung kepada pelbagai cukai yang dibayar rakyat terutama GST.

“Keadaan ini berlaku kerana tadbir urus lemah dan korup kerajaan terutama skandal-skandal korupsi berskala mega seperti 1MDB, Felda, MARA dan banyak lagi yang gagal diselesaikan.

“Kebergantungan kerajaan kepada sumber pinjaman KWSP menunjukkan hilangnya idea kerajaan menjana pendapatan. Justeru, kelemahan tadbir urus kerajaan 2018 tidak akan mampu mengubah negara ke arah negara maju 2050,” kata beliau.

Paling membimbangkan saat ini kata Faiz ialah kadar pengangguran di kalangan generasi muda yang semakin meningkat dari 11.7 peratus kepada 13.1 peratus pada tahun 2017.

Merujuk kepada laporan media, dianggarkan lebih 50,000 orang pekerja bakal dibuang kerja tahun ini.

“Penutupan pusat perniagaan mega seperti Giant dan kilang-kilang akan menjadikan punca pendapatan generasi muda menjadi taruhan.

“Kekurangan kantung negara juga menyebabkan kerajaan tidak mampu menawarkan pekerjaan kepada golongan mahir dan penting seperti graduan perubatan.

“Dianggarkan lebih 2000 graduan perubatan bakal menganggur setiap tahun. Secara umumnya, sekitar 54,103 daripada 238,187 graduan menganggur setiap tahun,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...