Monday, March 26, 2018

'Tak bertanding pun tak apa, cukup dah bagi saya' - TMB Kelantan


Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyerahkan kepada partinya untuk membuat keputusan sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau berkata demikian selepas ada khabar angin mengatakan anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor itu tidak akan bertanding di kerusi yang disandangnya.

"Saya tak tahu, itu parti buat keputusanlah.

"Saya tak apa-apa, saya kalau tak bertanding pun tak apa. Cukup dah bagi saya," katanya ketika ditemui media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, satu senarai calon-calon PAS Kelantan tular di media sosial yang menunjukkan Mohd Amar didakwa tidak akan mempertahankan kerusinya.

Sebaliknya, beliau dikatakan diberi tanggungjawab untuk bertanding di parlimen Pengkalan Chepa yang kini disandang Dr Izani Husin.

Sementara itu, berkenaan senarai calon, Mohd Amar menjelaskan PAS sudah bersedia dengan senarai calon untuk seluruh negara namun belum dimuktamadkan sepenuhnya.

"Senarai ada, tapi belum dimuktamadkan, seluruh Malaysia belum muktamad," katanya yang juga naib presiden PAS.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...