Sunday, April 29, 2018

Husam anak butir sebenar Tok Guru Nik Aziz, kata Nik Omar

Anak Almarhum Tok Guru Nik Aziz, Nik Omar menyifatkan anak murid sebenar bekas menteri besar Kelantan itu adalah Husam Musa.

“Ambo (saya) perhati pendekatan yang dibawa Husam memang sama, anak butir kita panggil dengan apa yang dibawa oleh Tok Guru,” kata anak lelaki sulung bekas mursyidul am Pas yang paling popular itu.

Ketika hayatnya, kata Nik Omar, Tok Guru Nik Aziz pernah berkata, Husam ini diciptakan Allah bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk Malaysia juga.

“Kalau kita ikut perkembangan, Tok Guru pernah sebut secara terbuka bahawa Husam dicipta Allah bukan hanya untuk negeri Kelantan, tetapi juga untuk Malaysia. Itu satu bukti,” kata Nik Omar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan awam pertama malam tadi selepas diterima sebagai calon Pakatan Harapan di DUN Cempaka yang menggunakan simbol PKR semasa penamaan calon semalam.

Husam adalah setiausaha akhbar pertama Tok Guru Nik Aziz apabila beliau dilantik sebagai menteri besar Kelantan selepas pilihan raya umum 1990.


Selepas itu Husam dinaikkan pangkat menjadi setiausaha politik apabila Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meninggalkan jawatan itu untuk menjadi speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Selepas satu penggal menjadi ahli parlimen Kubang Kerian (selepas PRU 1999), Tok Guru Nik Aziz menarik Husam kembali ke Kelantan dan dilantik menjadi exco kanan kerajaan negeri selepas PRU 2004. Husam diketepikan dari menjadi exco selepas PRU 13 apabila Nik Aziz tidak lagi menjadi menteri besar.

Nik Omar kini menjadi tumpuan wartawan yang membuat liputan berita di Kota Bharu selepas menjadi calon PH di Cempaka.

Nik Omar membuat kejutan selepas berbulan-bulan khabar angin yang mengatakan beliau akan menjadi calon AMANAH.

Yang terakhir beliau menafikan perkara itu kerana belum mendapat restu ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Bagi Nik Omar, kehadiran Husam bukan sahaja menguatkan Pas sebelum ini dari segi politik.

“Kehadiran Husam ini banyak memberi kebaikan dari sudut kewangan, ekonomi dan ambo memang tak terlibat dengan politik tetapi mengikuti perkembangan ini,” kata Nik Omar, anak kedua Tok Guru Nik Aziz itu.

Bagi Nik Omar, bagi memastikan negara ditadbir dengan baik, pengundi perlu memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH).

“Ambo hormat semua, hatta Umno pun ambo hormat. Jadi mana-mana pengundi nak undi lagi Umno terserahlah. Dah dia rasa itu terbaik.

“Jadi pada ambo secara peribadi dalam suasana sekarang ini ada tiga pilihan dan Pakatan Harapan yang terbaik,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...