Tuesday, April 10, 2018

Mahathir janji kaji semula pelaburan China jika menang PRU14



Beliau berkata, pelaburan China dialu-alukan jika syarikat mendirikan operasi di Malaysia, guna pekerja tempatan dan bawa masuk modal ke dalam negara

KUALA LUMPUR: Pelabur China di Malaysia bakal hadapi lebih bbanyak tapisan jika bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali berkuasa selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mahathir, yang merupakan calon perdana menteri pakatan pembangkang, dalam satu temubual Jumaat lepas berkata, pelabur China di alu-alukan sekiranya syarikat mereka mendirikan operasi di Malaysia, menggunakan pekerja tempatan dan membawa masuk modal serta teknologi ke dalam negara.

“Ini tidak berlaku sekarang,” katanya.

“Sekarang kita tidak dapat apa-apa daripada pelaburan,” kata Mahathir.

“Kita tidak mengalu-alukan itu,” katanya.

Komen Mahathir menggambarkan kebimbangan meluas tentang pelaburan China di serata Asia dan menimbulkan ketegangan politik dari Australia ke Sri Lanka.

Walaupun banyak negara mahu mengambil peluang daripada rancangan presiden Xi Jinping menawarkan pelaburan infrastruktur bernilai ratusan juta dolar AS ke serata dunia, tetapi mereka juga bersikap berhati-hati untuk tidak telalu bergantung kepada China.

Di Malaysia, pelaburan China menimbulkan kebimbangan tentang isu kedaulatan dan kesaksamaan ekonomi.



Mahathir menyentuh rancangan syarikat China, Country Garden Holdings Co Ltd untuk melabur AS$100 bilion di Johor bagi membina apartmen berharga lebih RM1 juta seunit. Median pendapatan tahunan di Malaysia pada 2016 ialah RM62,736.

“Tidak ramai rakyat kita yang cukup kaya untuk membeli apartmen mahal itu, jadi ia akan membawa masuk orang asing,” kata Mahathir. “Tidak ada negara yang mahu terima kemasukan besar-besaran orang asing.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu melanjutkan tempoh jawatannya ke penggal ketiga dalam PRU14 ini, menyifatkan kebimbangan pembangkang berhubung pelaburan China sebagai ” taktik menakut-nakutkan ahli politik tidak bertanggungjawab.”

“Perlu diingat bahawa pelaburan Malaysia di China sebelum ini lebih besar daripada pelaburan China di sini, dan kita mempunyai lebih banyak pelaburan Malaysia di luar negara berbanding pelaburan asing langsung (FDI) ke dalam negara,” kata Najib pada persidangan Invest Malaysia di Kuala Lumpur Januari tahun ini.

“Ia adalah jalan raya dua hala. Jumlah FDI berubah-ubah, dan hubungan sedemikian adalah sebahagian daripada dan juga kunci bagi sebuah ekonomi yang sihat dan pelbagai.

China merupakan sumber FDI terbesar di Malaysia, mewakili 7% daripada jumlah RM54.7 bilion yang diterima tahun lepas.

Mahathir mengambil Sri Lanka sebagai contoh negara yang “kehilangan banyak tanah” kerana gagal membayar hutang kepada China.

Tahun lepas, kerajaan Sri Lanka memberi kepada sebuah syarikat usaha sama yang diketuai syarikat China pajakan 99 tahun ke atas pelabuhan Hambantota di selatan negara itu sebagai balasan kepada pelepasan hutang.

“Ramai orang tidak suka pelaburan China,” katanya. “Kita berjuang untuk Malaysia. Kita mahu pertahankan hak rakyat Malaysia. Kita tidak mahu menjual tanah negara ini kepada syarikat asing yang mahu membangunkan bandar.”

Pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto pilihan rayanya untuk menggalakkan pelaburan berterusan dari “China dan negara Asia lain”, tetapi hanya selepas ia mengkaji semula semua projek mega asing bagi memastikan tiada unsur rasuah di dalamnya.

Antaranya ialah Projek Landasan Pantai Timur (ECRL), dengan anggaran kos RM55 bilion, kata Mahathir dalam forum di Selangor Khamis lepas.

Beliau berkata, kerajaan PH akan mengadakan rundingan semula ke atas projek itu, dan mungkin mmengurangkan jarak landasan asal sejauh 688km melainkan ada permintaan yang mencukupi. ECRL dijadual siap pada 2024.

Mahathir berkata, sekiranya memenangi PRU akan datang beliau juga mahu memulakan rundingan semula berkaitan hak dan akses ke Laut China Selatan dan pada waktu sama mengekalkan hubungan “baik” dengan semua negara.

Malaysia merupakan negara penuntut ke atas beberapa kawasan yang dipertikaikan di laut tersebut bersama-sama China dan beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Filipina dan Vietnam.

“Kita mahu pastikan suara kita didengar kerana Malaysia mempunyai hak ke atas beberapa buah pulau di kawasan itu dan kita mahu mempertahankannya,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...