Monday, April 16, 2018

Mahfuz - AMANAH vs PAS : Biar pengundi tentukan!

Biar pengundi tentukan!
POKOK SENA - Pengumuman bekas legenda bola sepak Kedah, Radhi Md Din yang akan bertanding di Parlimen Pokok Sena sebagai calon Pas sudah pasti menghangatkan lagi politik di situ.

Ini bermakna beliau akan berentap dengan penyandangnya Datuk Mahfuz Omar yang sudah berhijrah dari Pas ke Amanah.

Menurut Mahfuz, beliau sangat mengalu-alukan Radhi untuk bertanding di parlimen bagi memeriahkan lagi politik demokrasi yang diamalkan di negara kita selama ini.

Katanya, sesiapa pun boleh bertanding pada pilihan raya kali ini jika mereka layak bertanding serta mendapat sokongan bagi tujuan memajukan pembangunan di parlimen itu.

“Saya menerima pertandingan itu dengan berlapang dada dan sedia menerima keputusan nanti dengan baik. Setiap calon yang diketengahkan pada pilihan raya nanti sudah pasti mempunyai keistimewaan masing-masing.

“Biarlah pengundi yang menentukannya jika ramai calon akan bertanding nanti kerana sudah pasti mereka akan menilainya. Kini sudah sampai masanya pengundi akan menentukan calon mereka yang akan berkhidmat selama lima tahun.

“Pengundi perlu memilih calon yang benar-benar mampu membawa suara mereka di parlimen nanti bagi memperjuangkan nasib seperti yang pernah saya lakukan selama ini,” katanya yang berpengalaman menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena selama tiga penggal.

Menurut Mahfuz, beliau berharap semua calon yang bertanding pada pilihan raya nanti dapat mengamalkan semangat berlawan dan berkawan.

Semua calon perlu mengambil sikap lebih profesional semasa berkempen dan bukannya mengamalkan konsep seteru dan bermusuh.

“Saya berharap pada masa berkempen nanti tidak akan berlakunya permusuhan politik sehingga sanggup memutuskan persahabatan. Setiap pengundi atau calon perlu menghormati perjuangan masing-masing dan bukannya mengambil kesempatan pada pilihan raya ini untuk bermusuh.

“Bagi saya, sama ada Radhi atau sesiapa sekali pun yang bertanding , masing-masing mempunyai penyokongnya sendiri. Bagaimanapun, saya difahamkan ramai penyokong Pas akan mengundi Harapan walaupun mereka berada bawah bumbung Pas kerana takut untuk berhijrah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...