Thursday, April 19, 2018

Setelah 16 tahun tabur janji, Najib akhirnya rasmi pecah tanah Hospital Pendang

Setelah 16 tahun tabur janji, Najib akhirnya rasmi pecah tanah Hospital Pendang
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak bakal merasmikan majlis pecah tanah Hospital Pendang pada Ahad ini walaupun sejak pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pendang pada 2002, kerajaan BN sudah berjanji untuk membina sebuah hospital baharu di daerah itu.

Majlis pecah tanah menjelang 17 hari hari membuang undi PRU14 itu diberitahu Setiausaha BN Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian di Facebook.

Status atas nama Md Rozai Shafian itu tular di media sosial namun diselar dan disindir ramai netizen.

“Persiapan tapak Hospital Pendang untuk Perasmian Majlis Pecah Tanah oleh YAB Perdana Menteri pada 220418 (Ahad),” catat Rozai di Facebook semalam.

Lagi 17 hari membuang undi PRU14, Najib Razak akan rasmi maasjli pecah tanah Hospital Pendang yang lama tertangguh.



Bekas Speaker Dun Kedah itu juga menyiarkan lima foto beliau bersama kumpulan meninjau tapak hospital itu.

Bagaimanapun, status Ketua Umno Bahagian Pendang berkenaan mengundang ratusan kritikan dan lebih 300 perkongsian yang rata-rata mencemuh hanya dalam tempoh 17 jam dimuat naik.

Ramai menganggap janji tinggal janji itu hanya ‘gula-gula’ PRU14.

“Sakit hati tapi lawak. Tak tahu nak cakap apa. Lagi tak faham bila orang tetap pangkah (BN),” komen aktivis rakyat, Nashita Md Noor.

Difahamkan, perasmian tapak hospital dibuat di atas tanah yang pernah dijanjikan untuk pembinaan Hospital Pendang beberapa tahun sebelum PRK Pendang 2002.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan pada 2006 telah menyenaraikan kelulusan pembinaan Hospital Pendang dengan keluasan 16.8 hektar sebelum ditunda sehingga ke RMK-11.

Sultan Kedah yang kini Yang di-Pertuan Agong juga pernah dalam perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) menegur Kerajaan Persekutuan kerana melambat-lambatkan pembinaan Hospital Pendang yang dijanjikan.

Keutamaan pembinaan Hospital Pendang sebagai antara 10 projek keutamaan kerajaan negeri Kedah di bawah RMK-11 juga ditekankan semasa sesi penggulungan pada Persidangan Dun di Wisma Darul Aman, 19 November 2014.

Bahkan pada tahun berikutnya, Najib Razak dalam ucapan Bajet 2016 turut menyenaraikan Hospital Daerah Pendang untuk pembinaan.

Pada 24 Julai 2017, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memaklumkan tender untuk pembinaan hospital itu akan dikeluarkan pada September tahun yang sama.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga memberitahu kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kesihatan telah meluluskan pembinaan hospital yang mencecah kos lebih RM222 juta.

Walau bagaimanapun, tender hanya dibuka pada 22 Disember 2017 di bawah Projek Agensi pelaksana iaitu Cawangan Kerja Kesihatan (CKK).

Maklumat menerusi kenyataan Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail itu sekali gus menunjukkan janji Ahmad Bashah untuk tender dibuka sahaja sudah lewat tiga bulan.

Pada masa sama, Najib Razak ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 (RMK-11), Hospital Pendang antara enam hospital baharu yang akan dibina selain di Kemaman, Bentong, Pasir Gudang, Maran dan Baling.

Hospital Pendang berpakar minor yang bakal dibina di Kampung Banggol Pauh itu dilapor mampu memuatkan sehingga 250 katil.

Terdapat 10 bidang kepakaran akan disediakan antaranya perubatan am, pembedahan am, pediatrik, obstetrik dan ginekologi.

Untuk rekod, terdapat sembilan hospital kerajaan di Kedah iaitu di Baling, Jitra, Kuala Nerang, Kulim, Langkawi, Sik, Sungai Petani, Alor Setan dan Yan.

Parlimen Pendang yang disandang Datuk Othman Abdul dari BN mempunyai dua kawasan Dun iaitu N.18 Tokai dan N.19 Sungai Tiang dengan jumlah keseluruhan 70,697 pengundi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...