Tuesday, May 22, 2018

Saya tidak mahu ubah gaya Mat Sabu, kata Menteri Pertahanan


Menteri Pertahanan yang baru Mohamad Sabu mengaku beliau gementar apabila memulakan kehidupan barunya di kementerian yang penuh dengan undang-undang dan protokol itu kerana beliau hanya biasa dengan rakyat biasa.

Kalau selama ini beliau berteh tarik di kedai-kedai mamak dan berucap di pentas-pentas ceramah politik, hari ini beliau memulakan hidup dengan jeneral-jeneral askar yang penuh dengan disiplin dan protokol.

“Tentulah gementar, saya selalu hidup bersama rakyat, tetapi sekarang perlu ikut undang-undang dan protokol, ini sesuatu yang baru (menjadi menteri).

“Tetapi saya tidak mahu ubah style Mat Sabu,” kata Presiden AMANAH itu, merujuk kepada nama yang selalu dipanggil kepada beliau di kalangan orang ramai.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pertama beliau di Wissma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Antara perkara yang perlu dijaganya bermula hari ini, menurutnya, adalah ketika berkata-kata di khalayak umum.
“Saya presiden AMANAH dan juga Menteri Pertahanan, dua perkara ini (membuatkan) saya perlu lebih berhati-hati. Sebarang percakapan akan dilihat dan dikaji kawan dan lawan, dalam dan luar negara,” katanya lagi.

Beliau juga berkata akan lebih berhati-hati ketika berhujah – terutama melibatkan soal fakta – demi menjaga hubungan Malaysia dengan negara lain.

Ditanya tentang kesediaan untuk berpindah ke kediaman rasmi kerajaan, anggota parlimen Kota Raja itu berkata sedang menimbang perkara itu.

“Saya nak datang ke sini jauh juga perjalanan. Saya akan putuskan sama ada pindah atau tidak dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Mohamad mengangkat sumpah jawatan lewat petang semalam di depan Yang Dipertua Agung selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Hari ini beliau melaporkan diri di kementerian itu dengan disambut Kawalan Kehormat Utama (KKU) yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Afandi Raja Mohamad Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta panglima-panglima perkhidmatan dan pegawai kanan tentera yang lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...