Friday, July 27, 2018

DBP mahu diajak berbincang isu UEC

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dikaji secara menyeluruh.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom bagaimanapun berkata, agensi itu juga berpendirian sebarang keputusan berkaitan UEC perlu mengambil kira Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Malah, beliau juga bersetuju supaya mata pelajaran sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus selain Bahasa Malaysia untuk pemegang UEC.

"Mata pelajaran sejarah mesti masuk sebagai kajian holistik yang menyeluruh (oleh kementerian pendidikan).

"Kita perlu ambil kira kepentingan Malaysia. Ia berkait rapat dengan perpaduan negara kerana isu pertama ialah kedaulatan bahasa Melayu," katanya pada sidang media di ibu pejabat DBP di Kuala Lumpur hari ini.



Selain itu, DBP turut berharap agar peranan agensi berkenaan diambil kira oleh kementerian pendidikan dalam menentukan hala tuju UEC.

Meskipun ketika ini masih belum dipanggil untuk berbincang mengenai perkara berkenaan, Mohamed Hatta berkata, DBP sentiasa bersedia dan terbuka untuk bertemu dengan pihak kementerian.

"Setahu saya (DBP) belum dipanggil tapi kita ada perbincangan yang tidak formal dengan pejabat menteri dan menteri sendiri.

"Kalau kita tidak dipanggil, kami mahu dipanggil kerana kita prihatin dan kita perjuangkan kedaulatan bahasa Melayu dan keutuhan serta perkembangan sastera.

"Ini berkaitan perpaduan negara," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...