Monday, July 9, 2018

Kajian ambil kira isu bahasa Melayu sebelum iktiraf UEC - Maszlee

Kementerian Pendidikan tidak akan mengadaikan bahasa Melayu dan akan melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), kata Menterinya Dr Maszlee Malik.

Katanya meskipun terdapat cadangan untuk mengiktiraf sijil itu sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) namun beliau tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.


Menurutnya pandangan pelbagai pihak tetap jadi keutamaan malah memandang berat isu kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan impak keputusan yang akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian.

“(Pengiktirafan) UEC adalah salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan. Cuma kita perlu ambil kira pandangan daripada beberapa pihak yang mereka tidak lihat sijil UEC sebagai sijil kemasukan semata-mata tetapi mengambil kira isu bahasa Melayu dan keharmonian.

“Saya perlu bertemu semua pihak berkepentingan bukan hanya kaum Cina tetapi juga golongan pejuang bahasa kebangssan dan mereka yang berurusan dalam menjaga keharmonian. Jika kita ingin UEC diiktiraf nanti, kita tidak mahu ia menjejaskan perpaduan dan bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Seberang Marang, di Marang, hari ini.

Maszlee mengakui bahawa menentukan keputusan berhubung UEC bukanlah suatu yang mudah dan pihaknya tidak mahu selepas sesuatu keputusan dibuat akan berlaku ‘pusingan u atau flip flop’.

“Kita tidak mahu menggadaikan bahasa Melayu dan apa sahaja keputusan kita ambil akan bersifat komprehensif dan holistik. Meskipun kita tidak boleh puaskan hati semua pihak, tetapi kita boleh memberikan kelegaan kepada beberapa pihak,” katanya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Sementara itu berhubung isu pencabulan pelajar oleh guru, beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi.

Katanya guru, ibu bapa dan pelajar perlu berani tampil membuat laporan supaya tindakan tegas diambil serta mengalu-galukan sebarang kerjasama daripada badan bukan kerajaan dalam menangani jenayah itu.

Maszlee berkata pihak kementerian berterima kasih kepada ibu bapa, penjaga, guru dan aktivis sosial yang segera melaporkan kejadian seumpama itu dan menurutnya dalam usaha mengekang jenayah itu pihak kementerian bercadang mengadakan ujian psikiatri ke atas bakal guru dan guru yang sedang berkhidmat.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...