Tuesday, July 24, 2018

Salahuddin setuju elaun MP 'malas' dipotong, tapi...

Salahuddin setuju elaun MP 'malas' dipotong, tapi...


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub bersetuju dengan cadangan bekas menteri Tan Sri Rais Yatim agar memotong elaun anggota parlimen yang "malas" hadir persidangan.

Beliau juga setuju agar nama anggota parlimen yang dimaksudkan disiarkan.

Namun, Salahuddin berkata, cadangan Rais itu hanya perlu dikenakan kepada anggota parlimen yang tidak hadir tanpa alasan yang kukuh.

"Ya, itu saya setuju (dengan cadangan Rais)," katanya mengulas kenyataan Rais di Twitter berhubung kekurangan korum di Dewan Rakyat hari ini yang menyebabkan persidangan terpaksa ditangguhkan seketika.

"Kalau mereka benar-benar anggota parlimen yang tidak bertanggungjawab, sengaja ponteng parlimen, tanpa alasan yang kukuh, menjadikan jawatan anggota parlimen sebagai untuk memenuhi kehendak peribadi, tidak datang parlimen, tidak bahas, itu saya rasa munasabah untuk parlimen sendiri ambil tindakan.

"Kalau ada pemotongan elaun, terpulang kepada peraturan parlimen," katanya.


Mengulas lanjut, Salahuddin menegaskan beberapa anggota parlimen yang lewat masuk ke dalam dewan hari ini adalah kerana menghadiri taklimat sebelum itu.

"Kalau mereka pergi ke tempat-tempat lain mungkin jadi suatu isu, tapi mereka sebahagiannya berada dalam parlimen untuk dengar taklimat. Saya juga pernah jadi anggota parlimen biasa, memang kita banyak taklimat di parlimen," katanya menggesa orang ramai tidak menjadikan insiden itu untuk menilai anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...