Wednesday, August 8, 2018

Sekolah agama dilantik jadi ejen kutipan zakat bagi Lembaga Zakat Negeri Kedah

Sekolah agama jadi ejen kutipan zakat
Syeikh Zakaria (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Sekolah Rendah Islam Ummi yang mendapat tempat kedua Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi.

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membuat lantikan semula kira-kira 100 sekolah agama di seluruh Kedah sebagai ejen kutipan zakat sah.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pembayar boleh membuat bayaran zakat di mana-mana sekolah agama yang dilantik menjadi ejen kutipan zakat yang sah itu.

Syeikh Zakaria berkata, inisiatif berkenaan diambil demi memberi kemudahan kepada orang ramai, syarikat-syarikat korporat untuk membayar zakat di negeri ini.

"Usaha itu memudahkan pembayar membayar zakat di mana-mana sekolah yang menjadi ejen kutipan zakat sah, sekaligus memberi manfaat kepada sekolah.

"Dengan lantikan itu, pihak sekolah menerima faedah bayaran kutipan, dan juga manfaat daripada agihan balik daripada syarikat-syarikat korporat," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Pelantikan Semula Ejen Kutipan Zakat dan Anugerah Ejen Sekolah Agama di Menara Zakat, di sini.



Dalam perkembangan lain, katanya, aktiviti mengutip zakat di Kedah perlulah mendapatkan kebenaran secara bertulis dan tauliah rasmi dari Sultan Kedah.

"Jadi, kita ingin mengingatkan adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana sekolah dan negeri melantik ejen-ejen mereka mengutip zakat di Kedah tanpa kebenaran secara bertulis dan tauliah rasmi,"katanya.

Terdahulu, LZNK turut menyampaikan Anugerah Ejen Sekolah Agama bagi kategori kutipan tertinggi dan bilangan pembayar tertinggi di Kedah.

Bagi kategori Anugerah Kutipan Tertinggi, tempat pertama diperolehi Maahad Al-Iman Li Ulumil Quran dari Baling dengan kutipan RM1.77 juta, diikuti Sekolah Rendah Islam Islah (Pendang) sebanyak RM370,160 dan Sekolah Rendah Akademi Islam Haji Abdullah Suboh (Kuala Muda), iaitu RM249,033.60.

Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah dari Baling mendapat tempat pertama untuk Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi dengan 296 pembayar, disusuli Sekolah Rendah Islam Ummi (Kota Setar) dengan 239 pembayar dan Maahad Al-Iman Li Ulumil Quran (Baling) dengan 83 pembayar.

Berdasarkan rekod, sebanyak RM4.8 juta kutipan zakat ejen sekolah agama dan 1, 621 pembayar zakat diperolehi dalam tempoh Ogos 2017 hingga 1 Julai 2018.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...