KENYATAAN MEDIA KETUA ARMADA PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA NEGERI PERAK
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Saya merujuk kepada ucapan pemimpin UMNO Dato' Lokman Noor Adam di majlis Himpunan Kebangkitan Melayu di Pekan Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak semalam.
1. Pertama sekali, saya ingin melahirkan rasa simpati yang mendalam kepada saudara Lokman kerana terpaksa menggunakan hujah-hujah yang terdesak untuk menunjukkan beliau masih relevan untuk memperjuangkan isu orang Melayu dan agama Islam. Sayang sekali, saudara Lokman dan ramai pemimpin-pemimpin UMNO baru menyedari hakikat bahawa mereka memerlukan sokongan rakyat khususnya orang Melayu untuk berkuasa. Malang sekali, Lokman dan pemimpin-pemimpin UMNO telah memejamkan mata, memekakkan telinga dan berpaling dari orang-orang Melayu di bandar dan di luar bandar apabila rakyat bersuara mengenai kos sara hidup yang tinggi yang mencengkam akibat rejim cukai GST. Sudah tentu, pada ketika itu saudara Lokman dan pemimpin-pemimpin UMNO tidak merasai akan keperitan rakyat kerana mereka hidup selesa dengan kekayaan yang dibina atas nama UMNO. Hari ini, selepas kehilangan kuasa, saudara Lokman mungkin baru tersedar bahawa beliau dan UMNO amat memerlukan sokongan orang Melayu. Soalnya, di mana saudara Lokman apabila rakyat di bawah merayu supaya nasib mereka dibela semasa UMNO berkuasa?
2. Rakyat telah menolak UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu disebabkan kegagalan mereka membela nasib rakyat keseluruhannya, termasuk orang Melayu yang selama ini menjadi deposit tetap undi UMNO. Rakyat sekali menunjukkan isyarat yang jelas penolakan terhadap UMNO apabila secara terang-terangan menolak budaya politik sempit yang dibawa oleh saudara Lokman dan UMNO pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis awal bulan lalu. Bukan sahaja para pengundi atas pagar, malahan penyokong-penyokong parti PAS juga menolak saudara Lokman dalam PRK Sungai Kandis. Jelas sekali, saudara Lokman cuba menggunakan pentas ceramah pada perhimpunan semalam untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada krisis dalaman UMNO yang gagal mengembalikan sokongan rakyat dan orang Melayu kepada parti itu.
3. Saudara Lokman cuba memperlekehkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menggelar beliau sebagai 'mamak bendahara' dan 'si tua puaka' dalam ceramah semalam. Ingin saya berpesan kepada Saudara Lokman, sebagai negarawan ulung, ayahanda Tun Dr Mahathir tidak sekelumit pun terkesan dengan cacian dan makian daripada Saudara Lokman kerana rakyat telah pun menunjukkan bahawa mereka menyanjungi kepimpinan ayahaanda Tun dengan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada PRU ke-14 Mei lalu. Sebagai negarawan yang cintakan rakyat dan tanahair, ayahanda Tun Mahathir pastinya memilih untuk menumpukan segala usaha dan tenaga untuk memulihkan negara tercinta ini daripada kerosakan-kerosakan yang ditinggalkan oleh mantan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak, berbanding membuang masa melayan kutukan picisan daripada Saudara Lokman.
4. Untuk makluman Saudara Lokman, perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah untuk memastikan proses undang-undang ke atas mantan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak berhubung pelbagai penyelewangan dan salah guna kuasa melibatkan wang negara, yang juga adalah wang rakyat. Untuk memastikan proses menegakkan undang-undang ini berjalan dengan penuh berkhemah dan teliti, kerajaan Pakatan Harapan memerlukan seorang calon yang berkelayakan tanpa sebarang prejudis perkauman. Jelas sekali, Saudara Lokman cuba mengalihkan isu ini dengan membuat dakwaan tidak berasas kononnya
tujuan perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara bertujuan menyaman Sultan dan Raja Melayu. Ingin saya bertanya kepada Saudara Lokman, atas sebab musabab apakah Peguam Negara secara tiba-tiba berhajat menyaman Sultan dan Raja Melayu sedangkan tumpuan kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menegakkan undang-undang ke atas Dato' Seri Najib Razak? Jelas sekali Saudara Lokman berhalusinasi dengan hasutan yang sangat jahat terhadap Peguam Negara dan kerajaan Pakatan Rakyat dengan tuduhan liar yang sama sekali tidak berasas. Saya percaya, khalayak rakyat dan orang Melayu khususnya tidak berkongsi halusinasi Saudara Lokman. Biarkan beliau dengan halusinasinya. Tugas Peguam Negara adalah untuk menegakkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya untuk melindungi dan menutup sebarang salah laku kepimpinan kerajaan seperti yang berlaku di bawah pentadbiran sebelum ini.
5. Tidak cukup dengan mempolitikkan perlantikan Peguam Negara, Saudara Lokman juga memainkan sentimen orang Melayu dan agama Islam berhubung perlantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara akan mengancam agama Islam. Ingin saya bertanya kepada Saudara Lokman, apakah yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO di bawah Dato' Seri Najib Razak untuk menegakkan Islam? Sebelum terus-terusan menjaja fitnah terhadap kerajaan Pakatan Harapan, saya fikir adalah lebih baik Saudara Lokman menjelaskan kepada orang Melayu, khususnya kepimpinan PAS mengapa kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO gagal membantu parti PAS untuk melancarkan proses meluluskan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen semasa masih berkuasa? Hakikat yang semua rakyat nampak ketika itu adalah, kepimpinan UMNO yang terdesak dengan pelbagai penyelewengan dan salahguna kuasa, telah menggunakan RUU 355 sebagai umpan untuk mendapatkan sokongan kepimpinan PAS untuk kekal berkuasa. Jika benarlah kepimpinan UMNO ingin menegakkan Islam, kenapa tidak bersungguh-sungguh untuk membantu usaha memperkasakan Mahkamah Syariah?
6. Inilah dia wajah sebenar kepimpinan UMNO ketika itu yang dipertahankan oleh Saudara Lokman dan penyokong-penyokong Dato' Seri Najib Razak. Mereka hanya menggunakan isu orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu apabila tersepit. Tatkala orang Melayu bersuara supaya kerajaan membela nasib rakyat, mereka memberikan gula-gula untuk meredakan keresahan rakyat, dan tidak serius untuk memperkasakan ekonomi rakyat untuk jangkamasa panjang. Di atas prinsip "cash is king", pentadbiran kerajaan terdahulu dan kepimpinan UMNO mahu rakyat, khususnya orang Melayu di luar bandar untuk terus bergantung kepada parti itu untuk kekal berkuasa. Dengan taktik ini, mereka mengharapkan rakyat akan memejamkan mata dan menutup mulut terhadap kleptrokasi, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Kaya dan Dia lah yang memiliki kerajaan di langit dan di bumi. Di atas kekuasaanNya jua lah, majoriti rakyat telah membuat keputusan berani untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dan mempermainkan kesucian agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan memperolok-olokkan kebajikan rakyat untuk kekal berkuasa.
7. Saya yakin, rakyat telah muak dengan helah dan tipu daya UMNO yang terus menerus memainkan sentimen perkauman dan agama. Pakatan Harapan Perak khususnya, akan menumpukan segala tenaga dan usaha untuk membina negara dan negeri ini, selari dengan hasrat YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang mahu semua pihak menghentikan polemik politik. Pilihan Raya Umum ke-14 telah berlalu dan rakyat telah pun membuat keputusan. Hormatilah keputusan majoriti rakyat dan bergeraklah ke hadapan untuk menjadikan mengembalikan kegemilangan negara dan negeri ini atas semangat Sayangi Malaysiaku!
MOHD HAFEZ MUBIN BIN MOHD SALLEH
KETUA ARMADA BERSATU
PERAK DARUL RIDZUAN
2 September 2018
21 Zulhijjah 1439H
Hahahahahahaha
ReplyDeletebankami.blogspot.com
Jgn melokman adamkan diri anda
ReplyDeleteBila Bangsa Cina buat ucapan rasis... Orang Melayu mula asah parang... Bila Bangsa Melayu buat ucapan rasis Orang Cina mula penaik harga barang...! Cuba jawab sapa lebih bodooo....???
ReplyDelete