Saturday, September 15, 2018

Mercedes boleh ketika lori sampah tidak cukup

 
Tindakan kerajaan negeri Kelantan membuat pembelian kereta mewah Mercedes Benz untuk pegawai tinggi dan exconya terus menjadi momokan dan kutukan.

Ini kerana sebelum ini, kerajaan negeri berkata, lori sampah tidak mencukupi kerana kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa terus membangkitkan isu itu dalam pertemuannya dengan sebuah pertubuhan Wanita Kelantan dalam pertemuan beliau dengan mereka di Shah Alam.

“Hutang banyak tetapi boleh lagi beli Mercedes,” kata Husam secara sepintas lalu dengan diiringi tepukan dari yang hadir di majlis santai di sebuah kedai makan itu.

Isu pembelian Mercedes mula dibangkitkan Husam ketika berucap dalam satu majlis yang meraikan pelantikan beliau sebagai senator di Kota Bharu sebelum ini.


Menurut Husam, semua kerajaan negeri dan pusat sudah tidak lagi membeli kereta mewah itu tetapi menggunakan jenama Proton Perdana, kereta buatan Malaysia untuk menteri dan pegawai kanan mereka ekoran suasana ekonomi yang tidak berapa baik.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar mengaku kerajaan negeri membeli empat buah Mercedes baru untuk kegunaan pegawai kanan dan exco kerajaan negeri kerana ia kereta lasak dan tahan lama.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri perlu membeli kereta baru kerana tidak cukup kereta untuk kegunaan pegawai kanan dan exconya kerana amalan menjual kereta (dengan harga rendah) yang dipakai kepada pemimpin berkenaan selepas mereka berhenti.

Sebelum ini, ketika pelbagai pihak membangkitkan masalah kutipan sampah di negeri itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub berkata, kenderaan pengangkut sampah tidak mencukupi kerana masalah kewangan.

1 comment:

  1. Lepas dia pakai kereta tu... juai pulak kat dia dengan harga murah... oiii...syiokk la dia macam tu...! awat tak lelong...? Pelik Parti yg pakai cap Islam ni...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...