Friday, September 14, 2018

Pas gabung Umno lawan Anwar di PD


Datuk Dr Mahfodz dan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi

KUALA TERENGGANU - Pas akan bergabung bersama Umno dalam PRK Port Dickson bagi menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat yang diadakan parti itu, semalam.

"PRK Port Dickson nanti akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu di mana kita akan memberikan laluan kepada Umno dan calonnya.


"Kita juga berikan sokongan kepada Umno sebagaimana sokongan diberikan kepada kita dalam PRK Seri Setia yang lalu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulamak Pas ke-57, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas Malaysia, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Naib Ketua Dewan Ulama Pas Malaysia, Datuk Dr Johari Mat.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, ahli Pas menyambut baik kerjasama yang dijalinkan bersama Umno menerusi PRK Seri Setia.

"Kita terima respons positif daripada masyarakat. Dalam Pas kita berpegang dengan prinsip Islam yang menganjur supaya bersatu.

"Tiada istilah berpecah terutama dalam berhadapan dengan kumpulan Islam dalam konteks Malaysia dan masyarakat Melayu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, barisan pembangkang di negara ini telah membentuk kerjasama secara tidak rasmi dengan meletakkan satu calon sahaja bagi setiap kawasan yang bertanding.

"Parti-parti pembangkang yang ada hari ini termasuk di Sabah dan Sarawak telah sepakat untuk bekerjasama untuk membentuk satu kekuatan.

"Maknanya, dalam keadaan tidak rasmi pun kita telah berjaya, kalau ada keputusan yang muktamad (kerjasama), ia sudah tentu boleh menjatuhkan PH," katanya.


1 comment:

  1. Kalau UMNO bertanding PAS akan sokong calon UMNO...tapi kalau MIC yg bertanding...? Lagu ni saja lah.. alang2 mandi, biak basah..kalau selok perkasam biak sampai pangkai lengan...! PAS masuk BN saja lah dan buat Logo baru yg nampak macam kubah Masjid..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...