Thursday, October 4, 2018

Kedah isytihar 22 Oktober cuti peristiwa

 Kedah isytihar 22 Oktober cuti peristiwa
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hari ini, mengisytiharkan 22 Oktober sebagai cuti peristiwa sempena pertabalan Sultan Kedah Ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Beliau membuat pengumuman itu selepas dipersetujui dalam mesyuarat exco negeri itu.

"Dalam mesyuarat exco hari ini, kami memutuskan 22 Oktober ini sebagai cuti peristiwa berikutan pertabalan akan berlangsung di Istana Anak Bukit.

"Keputusan itu tidak akan menjejaskan kuota cuti tahunan negeri kerana ia hanya berlaku sekali sahaja, bukannya sebagai cuti tahunan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurutnya, pertabalan kali ini merupakan peristiwa bersejarah memandangkan kali terakhir ia diadakan 59 tahun lalu iaitu ketika almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28.


Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 pada 12 September tahun lalu menggantikan almarhum Sultan Abdul Halim yang mangkat.

Sebanyak lima acara utama disusun sempena pertabalan Sultan Kedah yang sudah dimulakan pada 20 Septemer lalu.

Antaranya, Istiadat Meletak Kerja di Balai Besar pada 20 September, Istiadat Ziarah Makam di Makam Diraja Langgar (5 Oktober), Istiadat Siram Tabal di Istana Anak Bukit (14 Oktober), Istiadat Perbarisan dan Perarakan di Dataran Balai Besar (20 Oktober) dan disusuli Istiadat Pertabalan di Istana Anak Bukit pada 22 Oktober.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...