Monday, October 15, 2018

PEMIMPIN MALAYSIA BARU TIDAK SEPATUTNYA SAMA KEMARUK DENGAN BINTANG, PINGAT DAN GELARAN

Berikutan beberapa menteri, timbalan menteri dan exco kerajaan negeri yang baru memegang jawatan dalam kerajaan selepas Pakatan Harapan menang dalam pilihanraya umum lalu didapati menerima pingat dan bintang sempena hari ulang tahun kelahiran Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob pada 13 Oktober lalu, ramai yang melahirkan rasa tidak selesa dengan keadaan itu.

Lima menteri, termasuk di antaranya yang tidak pernah ada apa-apa gelaran sebelum ini telah menerima bintang "Darjah Gemilang Seri Melaka" atau DGSM yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Menteri yang menerima DGSM itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Menteri Kesihatan, Dzulkifly Ahmad, Menteri Pembangunan Ushawan, Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.


Timbalan menteri dan exco kerajaan yang turut menerima pingat yang membawa gelaran "Datuk Seri", "Datuk Wira" dan "Datuk" ialah Shamsul Iskandar Mohd Akin, Dr. Md Farid Md Rafik, Mohd Hatta Ramli, Mohd Rafiq Naizanohideen, Tey Kok Kiew, Mohd Jailani Khamis dan Mohd Sofi Abdul Wahab.

Rata-rata mereka menganggap pemimpin Pakatan Harapan yang menerima pingat dan bintang itu sebagai kemaruk gelaran, sedangkan mereka baru saja berkhidmat sebagai menteri, timbalan menteri dan exco kira-kira lima bulan lamanya.

Sebesar manakah jasa dan sumbangan mereka kepada rakyat dan negara dalam tempoh lima bulan lalu?

Pernahkah mereka menatap cermin untuk melihat sumbangan sendiri sebelum bersetuju menerima pingat dan bintang itu?

Sebelum ini, semua kita tahu budaya kemaruk pingat, bintang dan gelaran ini hanya berlaku dalam UMNO dan BN saja. Setiap kali ada hari ulangtahun kelahiran Sultan, Raja atau yang Dipertuan Negeri, maka berderetlah nama mereka memenuhi sebahagian besar daripada senarainya.

Sebahagian mereka itu kadangkala bukan ada jasa sangat pun, cuma mereka menerimanya kerana mempunyai hubungan baik dengan pemimpin kerajaan negeri yang mencadangkan nama mereka kepada pihak istana atau pejabat Yang Dipertuan Negeri.

Akhirnya, kita dapati bersepah-sepah mereka yang ada gelaran "Datuk" atau "Datuk Seri" sehingga nilai kepada gelaran itu sudah tidak bernilai tinggi lagi.

Terdapat juga di kalangan mereka itu yang sengaja membahasakan dirinya "Datuk" apabila berbual dengan kita agar kita memanggilnya dengan "Datuk" juga, bahkan terdapat mereka yang menyebut namanya berserta gelaran "Datuk" apabila memesan minuman di Starbucks dengan tujuan agar gelaran itu diletakkan dalam tulisan pada gelas minuman dan dapat ditonton oleh orang keliling.

Tidakkah poyo semua itu?

Dalam hal ini, para pemimpin Pakatan Harapan mesti sedar bahawa mereka kini membawa imej kerajaan "Malaysia Baru" yang tidak perlu terlalu kemaruk kepada semua pingat, bintang serta gelaran seumpama itu.

Bukan tidak boleh untuk menerima pingat atau bintang, tetapi nilailah terlebih dahulu sumbangan kepada rakyat dan negara atau tunggulah setelah dua atau tiga tahun berkhidmat dengan kerajaan sebelum setuju menerimanya.

Ini baru lima bulan, bukan saja jasa dan sumbangan pastinya belum ada, bahkan mungkin ada menteri dan timbalan yang belum arif atau tidak hafal sama sekali fungsi dan nama-nama agensi di bawah kementerian mereka, tetapi lebih sibuk mahu bergelar "Datuk Seri" atau "Datuk".

Malulah sikit beb!!

Kenapa mereka tidak cuba menolak tawaran pingat dan bintang itu?

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika berkhidmat dalam kerajaan banyak kali menolak segala tawaran bintang dan pingat yang mahu diberikan kepadanya.

Beliau bukan saja merasakan jasanya terlalu kecil untuk menerima pingat ketika masih berkhidmat untuk rakyat, bahkan berpendirian akan menyulitkan tugasnya jika berlaku sesuatu krisis yang melibatkan Raja dengan kerajaan.

Allahyarham akhirnya hanya menerima pingat yang membawa gelaran "Tun" setelah beliau berundur daripada kerajaan.

Anaknya, Tamrin Ghafar, sejak menjadi Ahli Parlimen dan sehingga hari ini sudah empat kali menolak tawaran mereka yang mahu memberinya pingat dan bintang yang membawa bermacam-macam gelaran.

Kata Tamrin, hidup saya tidak kurang serinya tanpa gelaran "Datuk" atau "Datuk Seri" itu.

Dalam hal ini, apa yang mahu dilakukan oleh DAP dengan mengatakan Jawatankuasa Eksekutif atau CEC parti akan membincangkan soal penerima pingat dan bintang melibatkan para pemimpin mereka, haruslah dipuji oleh kita semua.

Kata Lim Guan Eng, tindakan pemimpin DAP menerima pingat itu tidak mencerminkan semangat perjuangan parti serta memberi persepsi lain kepada rakyat kerana parti tidak sampai setahun lagi menjadi kerajaan.

"Saya tidak mahu apa yang saya sebut ini dianggap tidak hormat kepada mana-mana kerajaan negeri, tetapi kenapa mereka perlu terima pingat pada tahun pertama menjadi kerajaan. Sepatutnya tunjukkan prestasi khidmat terlebih dahulu," ujar beliau.

Bahkan, Guan Eng turut menjadikan Tun Ghafar Baba sebagai contoh ikutan yang perlu diteladani oleh pemimpin yang berjuang untuk rakyat.

Soalnya, apa pendirian parti-parti lain dalam Pakatan Harapan dalam berdepan lebih banyak upacara penganugerahan bintang dan pingat di lain-lain negeri selepas ini? (ShahbudinHusin 15/10/2018).

1 comment:

  1. Tulisan yang mantap dan penuh dengan bahasa teguran yang sangat membina dan tahniah penulis.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...