Thursday, October 18, 2018

Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 catat sejarah selepas 59 tahun



Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 catat sejarah selepas 59 tahun
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff menerima mengadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, semalam. - Foto: Bernama

ALOR SETAR - Selepas hampir enam dekad, rakyat Kedah berpeluang menyaksikan detik yang mencatat sejarah apabila Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 bakal dilangsungkan di Istana Anak Bukit di sini pada Isnin.

Istiadat pertabalan itu diadakan selepas 59 tahun, setelah istiadat sebelum ini diadakan pada 20 Febuari 1959 sempena pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah Ke-28.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit pada 11 September 2017. Istiadat pertabalan Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah Ke-29 merangkumi lima istiadat utama iaitu Istiadat Letak Kerja, Istiadat Ziarah Makam, Istiadat Siram Tabal, Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan serta Istiadat Pertabalan Sultan Kedah.

Kesemua istiadat itu dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat yang ingin melihat Sultan Sallehuddin memerintah negeri Jelapang Padi ini dengan penuh kebijaksanaan.

Bagi memastikan rakyat menjadi saksi kepada satu lagi sejarah di Kedah, Kembara Pertabalan sempena istiadat itu bergerak ke 12 daerah di seluruh negeri bagi memberi hebahan dan promosi berkaitan aktiviti yang disusun atur sempena istiadat berkenaan.

Bekas pekerja Istana Anak Bukit, Mat Isa Sudin, 95, berkata keluarga diraja Kedah amat dekat di hatinya memandangkan beliau pernah bekerja dengan Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Beliau turut teruja menantikan istiadat pertabalan Sultan Sallehuddin sebagai Sultan Kedah Ke-29 setelah pernah menyaksikan pertabalan Sultan Kedah Ke-28 pada 1959.

Warga emas itu berkata beliau berpeluang melihat sendiri secara dekat persiapan istiadat pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan berasa bertuah kerana bakal menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Sallehuddin pula.

“Semasa istiadat pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, saya tidak terlibat dalam persiapan tersebut. Saya hanya melakukan kerja-kerja biasa seperti mengubah bunga untuk hiasan di dalam istana serta menjaga pokok bunga Orkid yang diminati Sultanah Bahiyah (Tuanku Abdul Rahman).

“Saya juga berperluang lihat pihak istana membuat persiapan seperti mengurus nobat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Seberang Chegar Besar, yang terletak di belakang Istana Anak Bukit di sini.

Mat Isa juga memberitahu bahawa beliau pernah bermain dengan Sultan Sallehuddin ketika baginda kecil dahulu.

“Ketika Sultan Sallehuddin kecil dahulu, saya pernah mendukung dan bermain dengan baginda,” katanya sambil menyuarakan keyakinannya bahawa Sultan Sallehuddin dapat menerajui Kedah hingga menjadi negeri yang lebih maju lagi.

Berkongsi pengalaman sama, bekas Ketua Istana Anak Bukit Ahmad Arshad Ishak, 70, berkata beliau teruja menantikan pertabalan Sultan Sallehuddin, yang pastinya penuh dengan adat istiadat diraja Kedah.

Beliau berkata ketika pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diadakan 59 tahun lalu, beliau ketika itu berusia 11 tahun dan seronok dapat meraikan detik bersejarah itu bersama-sama rakan-rakan sekolahnya.

"Masa itu, saya bersekolah di Sekolah Melayu Alor Merah. Beberapa hari sebelum istiadat tersebut, guru-guru mengumpulkan para pelajar untuk berlatih kerana kami diminta beratur sambil memegang bendera di sepanjang jalan yang dilalui baginda.

"Kami juga diajar cara untuk melaungkan 'Daulat Tuanku' dan pada hari bersejarah itu, saya dan rakan-rakan sekelas berasa sangat gembira kerana dapat Sultan Abdul Halim sambil melambai kepada baginda," katanya.

Ahmad Arshad, yang pernah berkhidmat dengan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit sejak berusia 17 tahun, berkata beliau berharap pemerintahan Sultan Sallehudin akan membawa Kedah menjadi semakin aman dan maju.

"Saya akan menyaksikan istiadat pertabalan baginda di televisyen berikutan keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pakar sejarah Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata pertabalan Sultan Kedah Ke-29 itu merupakan pertabalan ketiga Sultan Kedah yang dilaksanakan mengikut istiadat sebenar di negeri ini.

Wan Shamsudin,86, yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah berkata menurut Manuskrip Peringatan Raja-Raja Kedah yang ditulis pada 1914, Sultan Kedah pertama yang ditabal mengikut istiadat sebenar itu ialah Sultan Kedah Ke-22 iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni Almarhum Sultan Abdullah Mukarram Shah.

“Pada masa itu, Sultan Ahmad Tajuddin ditabal menjadi Sultan Kedah Ke-22 di Balai Besar di sini (Alor Setar). Kemudian, pertabalan kedua adalah semasa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabal sebagai Sultan Kedah Ke-28,” katanya yang kini berusia 80-an.

Beliau menjelaskan bahawa semasa Sultan Badlishah dilantik menjadi Sultan Kedah Ke-27, tidak ada upacara pertabalan dilaksanakan kerana ketika itu adalah zaman penjajahan Jepun.

“Baginda (Sultan Badlishah) dilantik sahaja, begitu juga dengan Sultan Abdul Hamid yang turut dilantik sebagai Sultan Kedah Ke-26,” katanya.

Wan Shamsudin, yang ketika di usia mudanya bertugas sebagai guru, turut berkongsi pengalamannya meraikan istiadat pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Sultan Kedah Ke-28 pada 1959 dengan berhimpun di kawasan luar Balai Besar.

Beliau berkata ramai rakyat yang menunggu di sepanjang jalan sekitar Balai Besar untuk melihat Sultan Abdul Halim, yang ketika itu berarak menaiki kereta mengelilingi bandar Alor Setar selepas istiadat pertabalan itu sebelum berangkat balik ke Istana Anak Bukit.

“…kini, sejarah pertabalan Sultan Kedah sekali lagi berulang dan saya beperluang meraikan pertabalan Sultan Kedah Ke-29 pula,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...