Wednesday, October 31, 2018

PM - ‘Keputusan ratifikasi Icerd selepas berbincang dengan semua kaum’


Kerajaan hanya akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) selepas berbincang dengan semua kaum, kata perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu pemberita hari ini bahawa beliau telah menyatakan sebelum ini bahawa meratifikasi konvensyen itu bukan tugas mudah kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum.

"Kita akan tandatangan setelah kita runding dengan semua kaum di Malaysia. Disebut dalam ucapan saya perkara ini bukan mudah bagi Malaysia kerana di Malaysia terdapat pelbagai kaum.



"Masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu," katanya ketika menjawab soalan wartawan mengenai pendirian Putrajaya terhadap Icerd dan jika negara akan mengesahkan konvensyen itu pada tahun hadapan.

Dr Mahathir sebelum itu merasmikan dasar nasional Industri 4.0, Industry4WD di Menara MITI di Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Daruk Soh Thian Lai.

Icerd menjadi isu hangat sejak beberapa minggu lalu selepas Menteri di Jabatan Perdana menteri, P Waythamoorthy berkata kerajaan akan memeterai konvensyen itu pada suku pertama tahun depan.

Ini mencetuskan kekecohan di kalangan beberapa kumpulan termasuk Pemuda Umno, yang mendakwa bahawa Icerd bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya bercanggah dengan hak istimewa Bumiputera dan meminggirkan Majlis Raja-raja Melayu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...