Saturday, November 3, 2018

Belanja JPM dipotong RM9.9 bilion tapi...


BELANJAWAN 2019 | Dokumen dalam Belanjawan 2019 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) telah menyemak semula peruntukan untuk pelbagai kementerian semasa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perubahan paling ketara adalah perbelanjaan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang memperuntukkan hanya RM7.54 bilion, iaitu RM9.89 bilion kurang berbanding RM17.43 bilion yang diperuntukkan Najib ketika Belanjawan 2018.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, kerajaan HARAPAN dianggar membelanjakan RM1.82 bilion lebih berbanding jumlah diperuntukkan Najib pada belanjawan lalu.


Pemotongan peruntukan kepada JPM mungkin disebabkan langkah HARAPAN memindahkan agensi-agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) yang sebelum ini diletakkan di bawah JPM.

Sementara itu, RM3.32 bilion diperuntukkan bagi dua kementerian baru iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM2.69 bilion) dan Kementerian Pembangunan Usahawan (RM636 juta).

Bagaimanapun terdapat peningkatan di pelbagai kementerian.

Tidak jelas sama ada peningkatan ini berlaku sebelum atau selepas perubahan kerajaan pada 10 Mei. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan menjimatkan perbelanjaan operasi sebanyak RM253 juta, tetapi perbelanjaan pembangunannya mencecah RM4.1 bilion.

Kementerian-kementerian lain yang jumlah anggaran dijangka meningkat ialah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (peningkatan RM1.27 bilion); Kementerian Kerja Raya ( Meningkat RM1.98 bilion); Kementerian Pengangkutan (meningkat RM52 juta), Kementerian Sains dan Teknologi (meningkat RM310 juta); dan Kementerian Wilayah Persekutuan (Meningkat RM352 juta)

Ini termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (meningkat RM432 juta); Kementerian Belia dan Sukan (meningkat RM493 juta), Kementerian Sumber Manusia (meningkat RM24 juta); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (peningkatan RM105 juta); dan Kementerian Dalam Negeri (peningkatan RM970 juta).

Sementara itu, perbelanjaan Kementerian Pendidikan bertambah sebanyak RM104 juta selepas Kementerian Pendidikan Tinggi dimansuhkan.

Kementerian yang memotong belanjawan mereka ialah Kementerian Pertanian (Berkurangan RM70 juta); Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (Berkurangan RM960 juta); Kemnterian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (Berkurangan RM49 juta); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Berkurangan RM115 juta kurang) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Berkurangan RM1 juta), Kementerian Kesihatan (Berkurangan 1 juta); dan Kementerian Pertahanan (Berkurangan RM366 juta).

Belanjawan untuk tiga kementerian tidak berubah, iaitu Kementerian Luar (RM741 juta), Kementerian Industri Utama (RM938 juta); dan Pelancongan (RM999 juta).

Di bawah pentadbiran Najib, sebarang perubahan kepada anggaran perbelanjaan hanya akan dicerminkan dua tahun kemudian - sebagai contoh, anggaran perbelanjaan untuk 2016 hanya ditunjukkan dalam semakan pada Belanjawan 2018.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...