Thursday, November 29, 2018

Keluar Parti Islam Maka Keluar Islam ?

Keluar Parti Islam Maka Keluar Islam ?
UST ZUL HILMEI MOHAMAD ROHANI

Keluar Parti Islam Maka Keluar Islam ?
Oleh kerana kepelbagian parti politik islam itu bersifat variasi dalam usaha menegakkan kalimah Allah, maka adalah tidak wajar untuk membuat tuduhan bahawa hanya sesuatu jemaah sahaja yang benar manakala yang lain adalah batil. Masing-masing memiliki tujuan yang sama hanya variasinya sahaja yang membezakan.

Oleh kerana ia menyentuh persoalan aqidah dan amalan setiap individu Muslim, Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil Fatwa Dr Yusof al-Qardawi bertarikh 31 Mei 2015 sebagai panduan umat Islam khususnya yang berada di Malaysia, berkenaan dakwaan haramnya menubuhkan parti Islam yang lain, jika sudah terdapatnya parti Islam dalam sesebuah negara.

Fatwa tersebut adalah seperti berikut:

Terdapat satu pandangan lain yang bercanggah dengan pandangan ini; iaitu yang berpandangan kerja jemaah itu wajib dan kewajipan itu hanya eksklusif kepada satu kumpulan tertentu dengan anggapan bahawa kumpulan itu sahajalah yang benar manakala yang lain adalah batil atau sesat.

Maksud firman Allah: “Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran? (Yunus: 32)



Dalam erti kata lain. kumpulan ini menjenamakan diri mereka sebagai “Jemaah orang-orang Islam”. Selama mana jenama itu mereka gunakan, maka setiap yang mengeluarkan diri daripada jemaah tersebut, dianggap telah terkeluar daripada umat islam seluruhnya. Termasuk yang tidak melibatkan diri dalam jemaah tersebut, dianggap tidak berada di dalam jemaah umat Islam.

Maka setiap hadith mengenai jemaah atau wajib bersama jemaah dan meninggalkan jemaah dijenamakan sebagai jemaah mereka. Ini adalah merupakan sebahagian cara mengeluarkan dalil tetapi menjenamakan nas-nas dengan perkara yang tiada kaitan adalah merupakan pintu kejahatan kepada ummah.

Ini adalah kerana, dalil-dalil tersebut diletakkan bukan pada tempatnya. Sebahagian mereka ada yang meletakkan ‘kebenaran’ itu pada jemaah mereka atau parti politik mereka dan menafikan penjenamaan itu diberikan kepada jemaah selain daripada mereka.

Kebanyakan mereka memberikan jenama dari pelbagai sudut. Sama ada secara fikrahnya (fikrah yang betul hanya jemaah mereka sahaja), amalannya (amalan yang betul hanyalah amalan mereka sahaja), akidahnya (akidah yang betul adalah akidah mereka sahaja) ataupun akhlaknya (akhlak yang betul adalah akhlak mereka sahaja).

Mereka cuba membataskan penjenamaan tersebut dengan mengatakan bahawa “jemaah yang benar” atau “parti yang benar” itu wujud dan ada pada jemaahnya dan bukannya ke atas jemaah yang lain. Kaedah begini sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal dan disiplin ilmu.

Sementara terdapat juga yang menjadikan ‘jemaah yang paling awal ditubuhkan’ sebagai kayu pengukur. Mereka menganggap jemaah yang ‘paling awal ditubuhkan’, maka kita boleh menentukan sesebuah jemaah itu pembawa obor kebenaran atau penipu kebenaran.

Fenomena ini menyebabkan timbulnya anggapan sebahagian parti-parti politik di sesetengah negara-negara umat islam, hanya dialah sahaja yang membawa kebenaran; atas alasan ia adalah parti politik yang pertama ditubuhkan, manakala setiap parti politik yang mahu ditubuhkan selepas itu, wajib dibatalkan penubuhannya dan tidak layak untuk kekal.

Hujah yang mereka gunakan ialah apabila berlakunya penerimaan orang awam terhadap parti yang pertama tadi, maka ia adalah penanda aras bahawa seluruh rakyat telah memberikan baiah kepada mereka!

Mereka berhujah dengan maksud hadith Nabi Muhammad s.a.w: “Apabila dua orang telah dibaiah untuk dijadikan khalifah, maka hendaklah kamu bunuh salah satu daripada keduanya (riwayat Ahmad dan Muslim daripada Abu Said; juga terdapat dalam Kitab Jami’ Al-Syoghir 421)

Wajar diberikan penegasan, bahawa fatwa-fatwa bodoh dan berani ini, datang daripada kalangan mereka yang tidak memiliki asas-asas yang kukuh dalam ilmu syariat. Fatwa bodoh ini telah mengheret ummah ke lembah kejahatan dan meletakkan mereka kepada kerosakan yang paling jahat.

Oleh itu, sesetengah fuqaha’ di zaman silam pernah memberikan pandangan mereka terhadap fatwa-fatwa yang dikeluarkan sebahagian orang yang kononnya memiliki title ustaz, ustazah, ulamak atau prof: “Bahawa adalah wajar sebahagian orang yang mengeluarkan fatwa pada hari ini untuk dimasukkan ke dalam penjara jika dibandingkan dengan kelompok pencuri! Ini adalah kerana kelompok pencuri hanya merosakkan kehidupan dunia orang awam, sementara mereka (kelompok agama tapi tidak layak berfatwa) merosakkan agama mereka dengan fatwa-fatwa palsunya.”
Bagaimana jika fuqaha’ terdahulu melihat terhadap apa yang kita baca dan apa yang kita dengar pada zaman ini? Tiada kekuatan dan tiada upaya kecuali dengan Allah.

Ulasan: Fatwa ini menjelaskan bahawa menuduh seseorang sudah terkeluar islam kepada mereka yang keluar parti Islam adalah tidak berasas sama sekali, jika mereka memilih manhaj dan gaya berfikir yang berbeza yang dibenarkan oleh syarak. Apa yang berlaku sebenarnya ialah umat Islam dilihat lebih kaya dengan pelbagai variasi dalam usaha mendaulatkan islam.



*** Penulis adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Negeri Johor


Berita penuh https://malaysiadateline.com/keluar-parti-islam-maka-keluar-islam/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...