Wednesday, December 26, 2018

Bayaran RM300 BSH dipercepatkan ke 28 Januari

Bayaran RM300 BSH dipercepatkan ke 28 Januari

Sehingga 4.1 juta isi rumah akan menerima bayaran fasa pertama sebanyak RM300 menerusi program Bantuan Sara Hidup (BSH) mulai 28 Januari ini.

Rancangan itu dipercepatkan berbanding cadangan kerajaan sebelum ini untuk membiayai dana berkenaan selepas Tahun Baru Cina.

Walau bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata pihak kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat cepat sebelum bulan Februari 2019.


“Bagi membuktikan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan B40 dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat, pembayaran BSH 2019 fasa pertama akan dilaksanakan pada 28 Januari mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan.

“Atas keprihatinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Lim, bayaran berkenaan akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka.

“Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baru seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan.

“Program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah. Kriteria pembayaran dan kaedah baru akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,” katanya.

BSH adalah kesinambungan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.


Di bawah Bajet 2019, isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 akan menerima bantuan sebanyak RM1,000, manakala yang berpendapatan antara RM2,001 dan RM3,000 akan mendapat bantuan RM750.

Mereka yang berpendapatan antara RM3,001 dan RM4,000 pula akan mendapat bantuan RM500.

Di samping itu, kerajaan juga akan menambah RM120 dalam BSH untuk setiap anak di bawah umur 18 tahun, terhad kepada empat anak tetapi tidak termasuk mereka yang kurang upaya.

Ini bermakna pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM2,000 dengan empat anak akan mendapat RM1,480 secara keseluruhan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...