Sunday, December 9, 2018

Dr M ulangi pendirian: Kita tak boleh terima Icerd

Selepas berlangsungnya perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan untuk tidak mengiktiraf konvensyen PBB mengenai kesetaraan kaum (Icerd) hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulang pendirian untuk tidak memeterai perjanjian tersebut.

Beliau berkata ini kerana Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum itu tidak membenarkan kerajaan merangka dasar langkah afirmatif (yang mengutamakan kaum atau kumpulan tertentu yang terpinggir dan mundur).

"Kalau kita tidak beri peluang kepada orang Melayu peluang lebih daripada kaum lain, kalau kita percaya kita mesti beri apapun secara sama, equality, maka yang sudah cekap akan lebih berjaya dan tidak cekap jadi lebih mundur.

"Sebab itu kita tidak boleh terima Icerd kerana ia tidak beri hak kepada kita untuk membezakan layanan bagi kaum-kaum di Malaysia.



"Sebab mereka tidak berada di taraf yang sama… dan kita tidak akan pinda perlembagaan kita," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera (Putra) 2018 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Pengerusi Putra Mohd Rafiq Naizamohideen dan Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Dr Hassan Said.

Perlembagaan lindungi bumiputera

Mahathir pertama kali bercakap mengenai pengiktirafan Icerd pada September lalu.

Perdana menteri ketika berucap pada perhimpunan agung PBB berkata Malaysia akan memeterai kesemua konvensyen hak asasi manusia yang belum dipersetujui.

Beberapa pihak membantah usaha kerajaan untuk mengiktiraf Icerd menyebut kebimbangan pengiktirafan konvensyen PBB itu akan mengancam fasal perlembagaan yang melindungi bumiputera.

Namun, kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 23 November 2018 berkata perjanjian itu tidak akan dimeterai bagi melindungi "kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini."

Perhimpunan hari ini, anjuran badan-badan NGO Melayu Islam yang disokong PAS dan Umno pada awalnya bertujuan membantah pengiktirafan Icerd. Bagaimanapun selepas kenyataan PMO, himpunan itu bertukar majlis kesyukuran kerana kerajaan tidak mengiktiraf Icerd.

Ribuan hadir di ibu negara bagi menyertai perhimpunan itu. Menurut anggaran Malaysiakini, pada waktu kemuncak perhimpunan kira-kira 80,000 orang membanjiri Dataran Merdeka.

Di bawah Perkara 1 (4) Icerd, negara-negara yang memeterai perjanjian ini dibenarkan mengamalkan "langkah-langkah khas" termasuklah dasar tindakan afirmatif dengan syarat-syarat tertentu.

Malahan, Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan NGO Lawyers for Liberty telah menyatakan konvensyen PBB itu selari dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...