Wednesday, December 12, 2018

Ernst & Young sangkal kenyataan Azeez kata mereka jadi juruaudit TH

Ernst & Young nafi jadi juruaudit Tabung Haji

Firma Ernst & Young (EY) menjelaskan bahawa mereka bukanlah juruaudit Lembaga Tabung Haji (TH) dan tidak mengeluarkan sebarang laporan audit berhubung penyata kewangan TH.

Dalam satu kenyataan, EY berkata, ia tidak menyemak penyata pendapatan TH dan tidak terlibat dalam penilaian aset dan liabiliti TH dan aset anak-anak syarikatnya.

Penjelasan itu dibuat berikutan pelbagai laporan media hari ini mengenai EY dan TH.

Sebaliknya, seperti yang dinyatakan dalam laporan EY kepada lembaga pengarah TH, EY menyatakan bahawa ia telah ditugaskan lembaga pengarah badan itu untuk melaporkan sama ada kunci kira-kira pro forma pada 31 Dis 2015, 31 Dis 2016 dan 31 Disember 2017 telah disediakan dengan sempurna berdasarkan kriteria yang boleh digunakan atau tidak.


"Lembaga Pengarah TH menyediakan kunci kira-kira imbangan pro forma pada 31 Dis 2015, 31 Dis 2016 dan 31 Dis 2017 semata-mata untuk menggambarkan kesan pelaporan pelaburan TH dalam ekuiti, sekuriti dan hartanah pada nilai aset yang dapat direalisasikan dan bukannya kos asal pada kunci kira-kira TH.

"EY tidak melakukan pengauditan maklumat kewangan yang digunakan untuk menyusun kunci kira-kira pro forma," kata kenyataan itu.

Tambah firma juruaudit antarabangsa itu ia melaporkan bahawa pelarasan dibuat adalah semata-mata untuk maksud menggambarkan kesan laporan pelaburan TH dalam ekuiti, sekuriti dan hartanah pada nilai aset yang boleh direalisasikan pada kunci kira-kira TH.

"Laporan EY tidak boleh disandarkan untuk tujuan pengisytiharan dividen oleh TH pada 4 Feb 2016, 3 Feb 2017 dan 7 Feb 2018 masing-masing untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis 2015, 2016 dan 2017 kerana laporan EY untuk tahun-tahun yang berkaitan hanya dikeluarkan selepas tarikh pengisytiharan dividen.

"EY mengeluarkan laporannya pada 30 Sept 2016, 12 Jul 2017 dan 23 Mei 2018 berhubung dengan lembaran imbangan pro forma masing-masing pada 31 Disember 2015, 2016 dan 2017," jelasnya.

Menurut firma itu lagi EY juga tidak pernah menyatakan mengenai kesesuaian perisytiharan keuntungan yang boleh diagihkan sebagai dividen menurut Akta Tabung Haji 1995.

"EY juga ingin menarik perhatian kepada Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 yang menetapkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh TH berhubung pengisytiharan keuntungan boleh diagih sebagai dividen," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...