Saturday, January 5, 2019

Elak ahli politik pegang jawatan dalam GLC


Skandal kewangan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) menggemparkan seluruh negara, terutama dalam kalangan Melayu Islam.

TH yang ditubuhkan pada 1963 ialah cetusan idea Prof Diraja Ungku Aziz, apabila mendapati ramai masyarakat Islam negara ini tidak mempunyai simpanan.

Simpanan khas dengan TH juga dapat mengelak unsur riba dalam institusi kewangan ketika itu.

Menerusi TH, umat Islam yang berhasrat menunaikan ibadah haji akan mempunyai simpanan wang lebih selamat dan teratur.

TH berkembang menjadi salah satu syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terbesar di negara ini, kecekapannya menguruskan jemaah haji setiap tahun mendapat pujian Kerajaan Arab Saudi.

Malangnya, pendedahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, bahawa TH sejak 2014 gagal mematuhi dua syarat untuk membolehkan pembayaran hibah cukup mengejutkan.

Laporan oleh akauntan bebas PriceWaterCooperation (PWc) mendapati akaun TH berakhir Disember 2017 merekodkan aset berjumlah RM70.3 bilion, manakala tanggungan liabiliti hanya berjumlah RM74.4 bilion menunjukkan ia menanggung defisit berjumlah RM4.1 bilion.



BNM kawal selia TH

TH kini bakal dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM). Syarikat tujuan khas ditubuhkan bagi mengambil alih tanggungan liabiliti milik institusi berkenaan mengakibatkan beberapa kemungkinan.

Antaranya tiada agihan hibah bagi 2018 atau pada kadar yang terendah, selain asetnya akan dijual bagi mengurangkan beban tanggungan liabiliti, sekali gus bertujuan memperoleh aliran tunai yang lebih positif.

Krisis ini sewajarnya dijadikan iktibar supaya tidak akan berulang pada masa akan datang, termasuk tidak melantik ahli politik memegang jawatan dalam institusi berkepentingan awam seperti ini.

Kepentingan politik

Kecenderungan ahli politik menyalahgunakan institusi terbabit untuk kepentingan politik sangat tinggi.

Pada satu peringkat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seolah-olah dijadikan tempat memberi jawatan kepada ahli politik, yang tidak menduduki jawatan dalam pentadbiran kerajaan pusat.

Seharusnya jawatan lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi badan berkenaan diberikan kepada golongan profesional.

Selain itu, penyimpan juga perlu membetulkan niat untuk menyimpan, bertujuan menunaikan ibadah haji dan bukannya pelaburan menambah kekayaan semata-mata.

Teras deposit untuk tujuan simpanan dan bukannya pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), kerana sudah pasti pulangan dalam bentuk hibah seharusnya lebih rendah, berbanding dividen ASB.

Semoga melalui tampuk pemerintahan Kerajaan Malaysia baharu dapat memulihkan institusi kerajaan daripada penyelewengan dan salah guna kuasa pihak berkepentingan.

Azha Abdullah,
Ipoh

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...