Tuesday, January 15, 2019

Peruntukan pendidikan : Siapa untung..?

Oleh : Ustaz Ali Muda

Apabila tersiarnya berita Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM12j kepada Sekolah Persendirian Cina (SPC), sambutan terhadapnya bersimpang-siur. Bagi masyarakat Cina, sudah tentu ia berita gembira yang mereka tunggu-tunggu sejak lama.

Manakala respon masyarakat Melayu pula terbahagi kepada dua. Yang pertama melihat kewajaran peruntukan itu memandangkan SPC tidak pernah diberi bantuan kerajaan sebelum ini atas alasan ia sekolah swasta. Walaupun mereka sedar SPC adalah sekolah swasta, namun mereka berpendapat anak-anak Cina rakyat Malaysia juga layak mendapat bantuan kerajaan berdasarkan sumbangan cukai yang mereka bayar kepada kerajaan. Pandangan ini merupakan pandangan progresif orang Melayu yang menerima hakikat negara ini adalah sebuah negara yang dikongsi bersama oleh seluruh warganya tanpa mengira ras atau asal-usul.


Respon kedua masyakat Melayu pula bertentangan sama sekali dengan respon pertama. Mereka berpendapat SPC tidak layak menerima apa-apa bantuan kerajaan kerana ia merupakan sekolah swasta dan sudah kaya-raya. Sumbangan yang diterima pertama kali oleh SPC sebanyak lebih kurang RM200,000.00 bagi sebuah sekolah (RM12 juta dibahagikan dengan 60 buah SPC di seluruh negara) adalah satu pengkhianatan kerajaan kepada bangsa Melayu, menurut mereka.

Mereka membandingkan sumbangan kepada SPC dengan sumbangan yang diperolehi sekolah pondok berdaftar sebanyak RM25 juta. Untuk rekod, semakan penulis terhadap portal Yayasan Pondok Malaysia terdapat lebih kurang 231 buah pondok seluruh negara. Angka tepat tidak diperolehi kerana ada juga pondok merupakan sekolah tahfiz. Jumlah sumbangan RM25 juta tersebut apabila dibahagikan kepada 231 buah sekolah ialah RM108,225.00. Ini sudah tentu jauh berbeza bila dibandingkan dengan SPC yang mendapat RM200,000.00 sebuah. Inilah yang menyebabkan warga Melayu mengamuk di alam maya menuduh kerajaan sudah tunduk kepada kemahuan Cina DAP dan telah mengkhianati bangsa Melayu. Mereka juga menyindir Menteri Pendidikan YB Dr Maszlee Malik sebagai menteri u-turn kerana meluluskan semula peruntukan RM12 juta kepada SPC itu selepas desakan oleh wakil DAP.

Namun kita tidak seharusnya terperangkap dengan sentimen ketuanan Melayu secara berlebihan. Pemikiran yang rasional dan wajar berdasarkan prinsip ketelusan dan keadilan sebagai mana yang diajar oleh Islam hendaklah dipasak di dalam minda Melayu dan diamalkan secara saksama dalam kehidupan.

Sebelum kita pergi lebih jauh membicarakan konsep keadilan dalam Islam, eloklah kita mengkaji segala peruntukan yang telah diberikan kepada pendidikan orang Melayu selama ini yang mungkin sebahagian mereka tidak mensyukuri.

Berdasarkan Belanjawan 2019, Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) memperoleh sebanyak RM250 juta, Sekolah Berasrama Penuh (SBP, 69 buah seluruh negara) mendapat RM50 juta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM 59 buah seluruh negara) mendapat RM50 juta, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) RM50 juta, sekolah tahfiz RM50 juta dan sekolah pondok berdaftar RM25 juta. Jika dijumlahkan keseluruhan bajet penyelenggaran pendidikan yang dianugerahkan kerajaan kepada sekolah-sekolah orang Melayu dan bumiputera ialah sebanyak RM475 juta (72.9 % daripada keseluruhan bajet pendidikan RM652 juta).

Manakala peruntukkan yang disalurkan untuk sekolah Cina dan India ialah sebanyak RM177 juta sahaja (27.1 %). Ini berdasarkan kiraan RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), RM50 juta untuk Sekolah Mubaligh, RM15 juta untuk Sekolah Menengah Jensi Kebangsaan (SMJK) dan RM12 juta untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).


Sebenarnya kategori Sekolah Mubaligh (sekolah-sekolah zaman penjajah yang asalnya ditadbir oleh misionari Kristian diambil alih oleh kerajaan seperti SMK Methodist, SMK La Salle, SMK Victoria, Penang Free School dan lain-lain lagi) tidak boleh dikategorikan sebagai sekolah Cina kerana sekolah tersebut merupakan sekolah campur yang ada di antaranya murid Melayu merupakan majoriti). Namun ini seimbang dan memadai apabila fakta menunjukkan SK dan SMK juga bukanlah sekolah orang Melayu sahaja kerana ramai murid Cina dan India bersekolah di SK dan SMK.

Jika dikeluarkan Sekolah Mubaligh daripada senarai sekolah Cina dan India yang mendapat peruntukan kerajaan, sudah tentu ratio mereka bertambah kecil iaitu cuma RM127 juta sahaja (19.5%).


Kaum Melayu yang tidak berpuas hati dengan pemberian untuk SPC sebanyak RM12 juta itu menjadikan hasil pecahan untuk sekolah pondok yang amat kecil jika dibandingkan dengan pecahan yang diperolehi SPC. Dalam kalangan mereka ada yang mendakwa RM25 juta apabila dibahagikan dengan 861 buah pondok seluruh negara hanyalah berjumlah RM29,036.00 sahaja. Sedangkan RM12 juta apabila dibahagikan dengan 60 buah SPC, setiap SPC mendapat RM200,000.00.


Sebenarnya manipulasi angka dan penyembunyian fakta telah berlaku di sini. Bilangan sekolah pondok berdaftar menurut rekod Yayasan Pondok Malaysia cuma lebih kurang 231 buah (angka tidak dapat dipastikan kerana ada pondok yang termasuk dalam kategori sekolah tahfiz), bukannya 861 buah. Jadi pecahan yang sekolah pondok akan perolehi ialah sebanyak lebih kurang RM108,225.000.

Sudah tentu RM108,225.00 adalah jauh lebih kecil berbanding RM200,000.00. Namun kita masih dikira memanipulasi fakta jika kita mendiamkan peruntukan yang diberikan untuk SBP, MRSM, SABK dan Tahfiz yang dimanfaatkan oleh anak-anak Melayu (jumlah murid Cina dan India di SBP dan MRSM tersangat kecil dan tiada langsung murid Cina dan India bukan Islam di SABK dan Tahfiz).

Kaum Melayu yang tidak berpuas hati bising dengan peruntukan RM200,000.00 sebuah SPC, tetapi mereka diam terhadap peruntukan purata RM724,637 sebuah SBP dan purata RM847,457 sebuah MRSM. Mereka berhujah SPC sekolah swasta yang sudah kaya, tetapi mereka tidak menyebut kaum Cina dan India tiada sekolah SBP dan MRSM dan tempat mereka di kedua-dua kategori sekolah itu sangat minimum iaitu tidak sampai 5%.

Persoalannya sekarang, adakah masih tidak adil bagi kaum Melayu dan bumiputera jika mereka menikmati lebih daripada 72.9% daripada keseluruhan bajet pendidikan RM652 juta (iaitu lebih daripada RM475 juta) sedangkan kaum Cina dan India hanya menikmati 27.1% (RM177 juta) atau kurang? Adakah adil namanya jika kaum Melayu membolot semua bajet pendidikan kerajaan dan membiarkan kaum lain ‘mencari makan sendiri’ tanpa sedikit pun bantuan kerajaan? Bukankah selama ini mereka di SPC telah mencari makan sendiri tanpa sedikit pun bantuan kerajaan?

Memang benar SPC adalah sekolah swasta, tetapi sekolah tahfiz dan pondok juga sekolah swasta. Kekayaan SPC adalah hasil pengorbanan ibu bapa dan masyarakat mereka yang membuat pelaburan masa depan atas kepercayaan masyarakat Cina ‘pelajaran adalah wang masa depan’.

Ketika sekolah-sekolah anak Melayu yang dibiayai kerajaan sepenuhnya baru lima tahun kebelakangan mengorak langkah mewujudkan KSIB (Kumpulan Sokongan Ibu Bapa) dan kempen PIBK (Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti) melalui program e-Sarana PIBG yang merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, sekolah-sekolah swasta Cina sudah lima dekad berinisiatif dan berdikari sehingga kelihatan bangunan mereka gah tersergam, dewan perhimpunan dan kelas berpenyaman udara serta tabung PIBG berdeposit jutaan ringgit.

Sebagai bekas seorang guru yang berkhidmat lebih daripada 21 tahun di SMK, SBP Integrasi, SABK dan SBP premier (aliran sains), penulis boleh membuat kesimpulan bahawa ibu bapa dan masyarakat Melayu culas dan sangat berkira untuk menyumbang kepada sekolah tempat anak-anak mereka mendapat ilmu. Tidak dapat dinafikan ada ibu bapa yang pemurah, tetapi ia amat kecil berbanding ibu bapa yang hanya datang ketika mesyuarat agung PIBG untuk menyoal tentang penggunaan duit tabung PIBG yang tak seberapa. Lebih menyedihkan, mesyuarat agung PIBG pun mereka tidak datang atas alasan sibuk. Mentaliti kebanyakan mereka ialah sekolah kerajaan mesti dipertangggungjawabkan kepada kerajaan sepenuhnya. Mereka mahu melihat anak-anak mereka berjaya dengan mendapat deretan A dalam peperiksaan, tetapi tugas mendidik diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru dan mereka akan bising sekiranya pihak sekolah meminta sumbangan dan sokongan kewangan mereka untuk program pembangunan anak-anak mereka.

Kita boleh berlapang dada jika ibu bapa yang tidak menyumbang itu adalah daripada keluarga susah, tetapi sangat mendukacitakan apabila keluarga yang kaya-raya lebih kedekut dan sangat berkira. Bahkan ramai juga ibu bapa yang tidak membayar yuran sumbangan PIBG atas alasan pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak terdapat dalam mana-mana akta tentang kesalahan tidak membayar sumbangan PIBG.

Sebenarnya sikap tidak mementingkan pelaburan pendidikan anak-anak dan hanya berharap pihak kerajaan menanggung sepenuhnya pembiayaan pendidikan adalah punca sekolah-sekolah anak Melayu jauh ketinggalan dari segi prasarana dan program pembangunan murid berbanding di sekolah-sekolah swasta. Ironinya mereka sentiasa dengki dengan kelebihan prasarana sekolah swasta Cina khususnya, dan mengkritik keras kerajaan memberi sedikit sumbangan kepada sekolah tersebut.

Sebagai kerajaan yang ingin mentadbir negara mengikut ajaran al-Quran dan hadis sahih seperti ditegaskan YAB Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan para ulama dan cendikiawan Islam di Sri Perdana pada 31 Julai 2018, maka menjadi tanggungjawab kerajaan menunaikan amanah mentadbir dengan adil dan saksama. Kerajaan tidak perlu menuruti langkah kerajaan lama yang menggunakan slogan ketuanan Melayu untuk melebih-lebihkan kaum Melayu dan melupakan hak kaum lain. Tafsiran Islam ala Melayu lama tidak perlu diikuti dan dipatuhi sekiranya kerajaan baharu bertanggungjawab terhadap janji yang dilafazkan.

Naratif baharu Islam dalam Malaysia Baharu ialah Islam yang betul-betul diceduk daripada ajaran al-Quran dan hadis sahih. Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah: 8)

Pegangan kepada ajaran Islam sebenar seperti tuntutan al-Quran dan hadis sahih adalah pendorong kerajaan PH mengubah pendekatan kepada yang pendekatan yang lebih adil kepada semua kaum. Ia bukanlah langkah apologetik kerana tekanan parti DAP atau kerana terhutang budi kepada undi kaum Cina dan India yang memberi kemenangan kepada PH. Sebaliknya ialah adalah manifestasi keadilan yang dituntut oleh Maqasid Syariah yang menjadi sendi pentadbiran Malaysia Baharu dengan pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin.

Adalah diharapkan dengan pendekatan baru yang lebih inklusif akan mendorong kaum Cina yang telah berjaya dalam bidang perniagaan akan memberi peluang kepada kaum Melayu, India dan lain-lain untuk sama-sama berjaya dan menikmati kemakmuran negara bertuah ini. Di manakah Rahmatan Lil ‘Alamin jika nikmat kekayaan negara hanya menjadi milik satu kaum sahaja? Di manakah Rahmatan Lil ‘Alamin jika satu kaum dibiarkan sentiasa bergantung kepada belas ihsan kerajaan tanpa berusaha lebih untuk lebih berjaya dan bersaing secara sihat dengan kaum lain?

Perlu ditegaskan juga bahawa kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak juga berhak mendapat pendidikan yang berkualiti dengan prasarana yang setaraf dengan Semenanjung. Kerajaan baharu hendaklah memastikan semua kaum mendapat bantuan pendidikan berdasarkan keperluan sebenar. Kerajaan boleh berkongsi beban jika sumbangan korporat digalakkan kepada syarikat-syarikat nasional dan multi-nasional dengan insentif rebat cukai ke atas sumbangan yang diberikan kepada institusi pendidikan yang berkeperluan.

Pada hemat penulis, langkah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM12 juta untuk SPC adalah satu kejayaan dalam ujian pertama operasional Rahmatan Lil ‘Alamin. Malaysia Baharu tidak membawa apa-apa makna baharu jika tiada sebarang perubahan daripada pendekatan-pendekatan lama yang telah menjarakkan hubungan kaum di Malaysia kepada pendekatan yang lebih mendekatkan dan menyuburkan keharmonian antara kaum.



Ustaz Ali Muda merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

3 comments:

  1. Replies
    1. yg gila hang, yg babi tu kena tanya ketua hang pasai ilmu mantik mantuk dia semua pasai binatang

      Delete
  2. Org melayu kalau ada yg kaya berapa kerat sgt, camna nak derma juta2 kpd sek nk buat bangunan besar2, biasanya org melayu islam lebih pemurah dlm bab derma sbb tau ada balasan pahala di akhirat kelak, tapi kalau nk mkn pun x berapa cukup, nk derma berapa sen sgt, melayu yg senang sikit pun takat puluh atau ratusan ringgit boleh lah, melayu jutawan berapa kerat?

    hiduplah dlm realiti.. di malysia ni penguasaan ekonomi oleh org cina, meraka kaya raya jutawan2 byk, takat nk derma juta2 tak ada masalah

    nk tanya ustaz ali muda yg mkn gaji mcm kebanyakan melayu, berapa juta dah derma kat sek?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...