Tuesday, January 22, 2019

PRK Semenyih: 6,996 undi PAS kepada BN


SHAH ALAM: PAS akan memastikan 6,996 undi yang diperoleh calon PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih akan mengundi calon daripada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih nanti.

Menyatakan komitmen terbabit, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi berkata kesudian PAS itu berikutan persetujuan PAS di peringkat Pusat untuk memberi sokongan kepada calon BN.

PAS bersetuju tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil terbabit turut akan menurunkan jenteranya untuk membantu berkempen bagi BN.

"Komitmen daripada PAS bahawa kita akan turun seberapa daya yang boleh menggerakkan ahli kita untuk bergerak bersama dengan jentera BN.

"Fokus kita ialah untuk memastikan 6,996 undi PAS yang kita perolehi dalam pilihan raya umum yang lalu melalui calon kita akan dapat kita kekalkan.

"Kita akan tambah lagi lebih kurang cuba cari lagi 20 peratus lagi undi supaya semua yang undi PAS 6,996 itu dapat mengundi calon daripada Umno,” katanya pada media bersama Umno dan PAS Negeri Selangor mengenai PRK N.24 Semenyih yang diadakan di Bangunan Umno Selangor, hari ini.



Kerjasama antara Umno dan PAS pada pilihan raya kecil selepas daripada PRU ke14 bukan perkara baharu malah kerjasama pada kali ini dikatakan lebih matang berbanding sebelum ini yang agak longgar begitu juga kerjasama terbabit masih berterusan hingga kini pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highland.

Dalam sidang media sama dipengerusikan oleh Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, menjelaskan kerjasama antara PAS dan Umno dalam PRK Dun Semenyih kali ini lebih menyeluruh.

"Antara program yang kita akan adakan untuk tunjukkan kerjasama ini ialah menubuhkan jawatankuasa bersama antara Umno dan PAS daripada pimpinan Umno Selangor dan pimpinan PAS Selangor.

"Tujuan untuk selaraskan segala gerak kerja kita, yang kedua selain daripada menyertai sidang media bersama, kita juga akan melancarkan jentera pilihan raya kita yang akan dilancarkan bersama. Jadi gerak kerja ini bukan sahaja di peringkat di pusat tetapi juga di peringkat bahagian," ujarnya dengan penuh yakin Umno mampu merampas Dun Semenyih daripada Pakatan Harapan.

Ujar Sabri, Umno telah mencadangkan enam nama dan calon yang dipilih bukan berdasarkan jawatan kepada Umno bahagian tetapi berdasarkan calon yang diterima oleh rakyat dan berpotensi untuk menang.

Sementara itu mantan calon Barisan Nasional, Datuk Johan Abdul Aziz yang bertanding pada PRU14 di Dun Semenyih menyatakan beliau memberi laluan kepada calon-calon BN yang lain dan tidak tersenarai daripada enam calon yang terpilih itu.

Pilihan raya kecil Semenyih diadakan susulan kematian Adun Semenyih Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini telah menetapkan tarikh PRK Dun Semenyih pada 2 Mac dan tarikh mengundi awal pada 26 Februari manakala penamaan calon pada 16 Februari ini. Dijangka seramai 54,503 pemilih layak mengundi. – HARAKAHDAILY 22/1/2019

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...