Wednesday, November 13, 2019

Apa yang susahnya nak daftar PUSAT TAHFIZ?



DAFTAR PUSAT TAHFIZ - SIAPA PREJUDIS?

Apabila menteri mahu pusat tahfiz didaftar, ada sebahagian pengusaha pusat tahfiz menganggap menteri prejudis dengan pusat tahfiz.

Secara peribadi, saya kurang faham alasan anggapan itu. Lebih saya tidak faham, apa sebenarnya yang menghalang pengusaha pusat tahfiz mendaftar pusat tahfiz mereka?

Pendaftaran akan memudahkan pemantauan, juga penyaluran bantuan apabila hal itu mahu dilakukan.

Banyak usaha penambahbaikan boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk pusat tahfiz jika suatu sistem data lengkap berkaitan semua pusat itu dapat diwujudkan dengan sempurna.


Berbalik kepada soalan tadi, apa sebenarnya halangan pengusaha pusat tahfiz enggan untuk mendaftar pusat berkenaan? Birokrasi pendaftaran, atau kriteria kelayakan pendaftaran, atau ada agenda lain yang mahu disembunyi (agak prejudis frasa inikan)?

Isu birokrasi boleh diselesai melalui proses konsultansi. Kriteria kelayakan sangat penting untuk dipenuhi terutama yang melibatkan keselamatan bangunan, kawalan penyakit, kurikulum dan silibus serta kelayakan guru dan pentadbir.

Di negara kita sudah wujud beratus-ratus pusat tahfiz yang berdaftar dengan pihak berkuasa. Sama ada pusat-pusat berkenaan dimiliki oleh pihak berkuasa negeri atau agensinya atau pihak swasta.

Saya tahu, ada pengusaha pusat tahfiz yang tidak meyakini sistem pengajian pusat tahfiz sedia ada kerana mereka ada sistem pendidikan tahfiz tersendiri. Saya fikir ini tidak seharusnya menjadi penghalang untuk pusat berkenaan didaftarkan.

Bahkan, saya fikir, jika wujud pusat sebegitu dan pihak berkuasa berjaya diyakinkan bahawa sistem yang diguna pakai itu adalah sistem terbaik, tentu pusat tahfiz sebegitu akan beroleh status tersendiri di sisi kerajaan.

Tidak wajar ada prejudis apabila pusat tahfiz diminta untuk mendaftar dengan pihak berkuasa. Ironik sekali, diminta berdaftar, pelbagai alasan dan sanggahan dibuat, tetapi apabila berlaku sesuatu tragedi tidak diingini, pihak berkuasa pula dipersalah.

Bahkan, saya dapati ada pengusaha pusat tahfiz yang mempersoalkan menteri dan agensi jagaannya apabila bantuan untuk pusatnya tidak disalurkan. Namun kerjasama supaya pusat tahfiz miliknya didaftar tidak diberi dengan wajar.

Mungkin (ini sangkaan kurang baik saya) pengusaha pusat tahfiz yang enggan mendaftar ada agenda tersendiri di sebalik pewujudan pusat tahfiz.

Ada pusat tahfiz yang ditubuhkan oleh parti politik atau kumpulan tertentu, atau ditubuhkan oleh pemimpin parti atau kumpulan tadi yang bertujuan mengindoktrinasi agenda parti atau kumpulan mereka.

Justeru, saranan saya, jika kita jujur dengan kerja kita untuk agama ini, bukan ada agenda lain, eloklah kita saling bekerjasama demi warga kita.

Saya letakkan di sini (dengan pembaikan dari sudut ejaan) komen rakan saya, pemilik sebuah pusat tahfiz di Kedah terhadap kiriman saya sebelum ini untuk menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pendaftaran pusat tahfiz banyak kerenah birokrasi.

BIROKRASI PENGHALANG DAFTAR PUSAT TAHFIZ?

Kata Hj Mohd Shubihi,

"Saya tak nampak birokrasi jadi penghalang untuk satu-satu pusat tahfiz itu didaftarkan.

"Saya berpengalaman mendaftarkan sebuah pusat tahfiz enam tahun lalu, hanya ambil masa kurang lebih dua minggu saja untuk mendapatkan sijil pendaftarannya.

"Tidaklah sepayah mana pun dan tak ada birokrasi langsung seperti yang dijaja itu. Cuma mahu dengan tak mahu saja.

"Perkara yang penting ialah lengkapkan semua dokumen yang diminta dengan perakuan keselamatan dari pihak berwajib dan buat serahan kepada pendaftar di pejabat agama negeri.

"Dalam tempoh seminggu atau lebih sedikit pusat tahfiz yang didaftarkan akan diaudit oleh pihak pendaftar. Selepas seminggu terus dapat sijil pendaftarannya.

Tidaklah sepayah mana pun."

Terima kasih sahabatku.

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...