Sunday, November 17, 2019

KEDAH TERUS JADI DESTINASI PILIHAN PELABUR


ALOR SETAR - Prestasi cemerlang Kedah dalam menarik kedatangan pelabur asing berterusan menerusi kehadiran satu pelaburan dari New Zealand di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang dianggarkan mencecah sehingga RM1 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah, Tan Kok Yew berkata, pelaburan bernilai tinggi itu ketika ini berada dalam proses mendapatkan kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Pelaburan industri di Kedah memang amat menggalakkan. Selain KHTP, Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) juga kian berkembang dengan kerajaan negeri turut menerima cadangan untuk pelaburan dalam sektor agro makanan di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di situ.



"Bagi Bandaraya Getah Kedah (KRC) pula, kerja-kerja berkaitan dijangka akan dimulakan pada hujung tahun ini. Sebagai persediaan, delegasi kita telah dan akan menyertai beberapa konvensyen antaranya di Shanghai serta Hainan di China dalam usaha mempercepatkan usah menarik pelabur ke KRC," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Dialog Pasca Belanjawan 2020 bertemakan Perkembangan Terkini Pelaburan Berkaitan Logistik, Industri Dan Pelancongan di Kedah bertempat di Star City Hotel dekat sini, hari ini.

Sesi dialog tersebut menampilkan Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Mohamad Mahazi Ibrahim; Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Srategik Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Hasri Hasan dan Ketua Pegawai Operasi Northern Gateway Sdn.Bhd, Razwin Sulairee sebagai panel sementara Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Kedah dan Perlis, Tahiruddin Hamdan bertindak selaku moderator.

Sebelum ini, statistik MIDA menunjukkan Kedah berada di tangga kedua selepas Pulau Pinang dengan nilai projek yang telah diluluskan hingga Jun 2019 mencecah RM7.714 bilion.

Jumlah itu jauh mengatasi jumlah pelaburan sebanyak RM2.3 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2018 dengan peningkatan sebanyak tiga kali ganda.

Sementara itu Kok Yew berkata, pihaknya turut bercadang untuk mempelawa lebih banyak pelabur bagi menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pelancong di negeri ini.

"Kita mahu mempelbagaikan aktiviti pelancongan ke negeri ini. Baru-baru ini, saya mengadakan lawatan ke Pelabuhan Pulau Pinang dan di sana kita boleh lihat bagaimana sektor kapal persiaran mampu membawa kedatangan pelancong yang ramai mencecah sehingga 7,000 orang dalam satu-satu masa.

"Jadi ini satu contoh peluang ekonomi yang perlu kita fikirkan. Topik itu mungkin dapat dibincangkan dalam masa-masa akan datang," katanya.

#KedahAmanMakmur
#KedahDarulAman

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...