Jawi – siapa nak berundur? S.Arutchelvan
Hari ini saya menghadiri satu forum bertajuk Forum Jawi – Saling memahami anjuran GBM – Gabungan Bertindak Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina, Selangor. Forum ini amat baik kerana ia turut dihadiri oleh Dong Zong, Tamil Foundation, IKRAM, ABIM dan Dewan Perhimpunan Cina. Yang menjadikan Forum ini complete adalah ia dihadiri juga oleh Dr Habibah Abdul Rahim dari Kementerian Pendidikan.
Saya berpendapat dalam satu forum yang dihadiri oleh semua kaum, maka semua pandangan semua ahli panel pelbagai kaum masuk akal dan rasional. Mereka berdialog dan meluahkan isi hati secara terbuka. Saya juga mula memahami sudut pandangan Dong Zong dan juga penjelasan yang begitu baik dan profesional oleh wakil Kementerian.
Namun saya bayangkan, jika forum tersebut hanya dihadiri oleh satu kaum dan ahli panel dari kaum tersebut, maka kita dapat bayangkan tuntutan-tuntutan dan jeritan slogan yang akan disambut dengan emosi tinggi dan nada tinggi. Maka akan berebut-rebutlah orang untuk memenangi pingat emas untuk pandangan yang paling radikal.
Saya juga dapat bayangkan bahawa walaupun Dong Zong untuk belasan kali berhujah bahawa perhimpunan mereka sebenarnya adalah satu mesyuarat tertutup dan mereka sebenarnya tiada masalah dengan Jawi tetapi nak bincang proses peranan Lembaga Sekolah dalam isu ini, namun semua hujah mereka akan tengelam kerana ramai orang merasakan bila orang Cina berhimpun maka umpamanya “Komunis” berhimpun. Sama jugalah kalangan orang bukan Islam yang berpendapat setiap kali orang Islam berhimpun, maka umpama “Taliban” berhimpun. Bila orang India berhimpun, sudah semestinya ia perhimpunan gangster. Maka begitulah strerotaip masyarakat Malaysia.
Maka suka atau tidak, hanya ada satu cara untuk meredakan keadaan yang semakin membara. Jika semua kumpulan dapat mengambil satu langkah berundur ke belakang, maka isu ini dapat diselesaikan dengan lebih bertamadun. *Masalah adalah siapakah yang hendak berundur dulu?*
Ada beberapa cara untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan sendiri pernah menarik diri dari ICERD dan Rome Statute, maka bagi saya tidak salah untuk Dong Zong mengambil langkah berundur satu langkah kebelakang memandangkan Kerajaan sendiri telah berundur beberapa kali dalam isu Jawi ini iaitu dari 6 muka sudah jadi 3 muka, tulisan Khat ditukar kepada Jawi, selain itu pilihan diberikan kepada ibubapa dan PIBG dan akhirnya 3 mukasurat yang hendak diajar. Semuanya menunjukkan Kerajaan sedia menerima pandangan dalam isu ini .
Maka saya ingin menyarankan win-win situation seperti dibawah
1. Dong Zong menunda program mereka dan pada hari dan masa yang sama mengadakan dialog dengan kumpulan-kumpulan yang sedia berdialog seperti ABIM, IKRAM, PAS, BERKASA dll dalam suasana yang kemuafakatan. Tindakan Dong Zong akan melihat kumpulan ini sebagai sedia bedialog dimana beberapa kali mereka sendiri menyebutnya. Maka ini adalah peluang terbaik.
2. YB Menteri Mazlee berjumpa dengan Jawatankuasa Dong Zong atau hadir ke program Dong Zong untuk memberikan penerangan dan mencari penyelesaian bersama. Ini adalah kerana Dong Zong baru-baru ini meminta temujanji dan ini boleh diselesaikan dengan baiknya. Saya masih ingat semasa ketegangan hebat masa BERSIH 2, DYMM Agung sendiri berjumpa dengan pemimpim BERSIH. Maka saya tidak lihat mengapa YB Menteri tidak boleh ambil langkah proaktif untuk berjumpa.
Kerana dalam suasana ketegangan yang ada, memang adalah amat kurang munasabah untuk meneruskan program ini kerana isu pokok disini sebenarnya adalah bukan 3 mukasurat Jawi tetapi adalah maruah etnik-etnik yang tidak mahu berundur, tidak mahu berkompromi dan merasakan jika mereka berundur, maka mereka kalah. Sebenarnya hero Malaysia – adalah mereka yang berundur untuk perpaduan manakala yang lainnya, hanyalah boleh jadi hero kaum masing-masing sahaja. Maka siapakah yang nak berundur?
Satu lagi kelemahan yang amat ketara adalah bagaimana PH menangani masalah ini. Kabinet PH sudah bertukar pandangan tidak kurang tiga kali dalam isu ini. Yang menjadikan PH lemah adalah setiap kali satu keputusan dibuat kabinet, pemimpin dan ahli-ahli PH akan terus mengambil posisi menjaga hati kaum masing-masing daripada senada. Maka sindrom nak jadi jaguh kaum menjadi agenda lebih besar daripada menjadi jaguh Negara. Kepimpinan PH juga seperti lambat bertindak menangani isu ini dan membiarkan gagal memainkan peranan sebagai pendamai.
Jika tiga mukasurat yang hendak diajar itu dibentangkan lebih awal dan apabila saya melihat 3 mukasurat yang hendak diajar, saya rasa memang tidak ada masalah pun, memandangkan semua perkataan jawi itu , kita lihat setiap hari tetapi tidak tahu maknanya.
Dari dulu, kita di PSM tidak pernah menyokong perhimpunan satu kaum, tidak kira dipanggil oleh kaum mana. Hipokrasinya adalah semua kaum rasa tergugat apabila kaum lain buat perhimpunan dan bila mereka sendiri buat, mereka merasakan bahawa itu adalah hak masing-masing.
Dulu semasa saya menghadiri satu forum, ada seorang lelaki bertanyakan kepada seorang ahli Panel bagaimana dia boleh membantu kaum wanita yang mengalami diskriminasi. Jawapan yang diberikan oleh panelis wanita itu adalah, kami tahu jaga diri kami sendiri tetapi kamu boleh membantu dengan bincang dengan orang lelaki supaya mereka tidak diskriminasi. Dalam isu perkauman ini, saya rasa cara terbaik adalah kita hentikan menegur kaum lain apa yang mereka patut lakukan dan sebagainya.
Adalah lebih baik kita menegur kaum kita sendiri supaya lebih rasional berfikir, lebih berbicara dan lebih memahami sesuatu isu. Ini akan membantu meredakan keadaan dan mengurangkan persaingan siapa lebih berani dan sebagainya.
Semasa Perang Dunia pertama, apabila semua Negara Eropah mula berperang antara satu sama lain. Lenin pada masa itu meminta kaum pekerja disemua Negara untuk boikot peperangan dan fokus kepada isu roti dan kehidupan mereka. Bila mereka berperang, hanya penjual alatan perang dan kapitalis yang untung, manakala ribuan rakyat miskin akan mati.
Jika kita menggunakan formula yang sama iaitu kita semua boikot perhimpunan satu kaum dan fokus kepada isu kepentingan bersama seperti sara hidup, gaji munasabah dan alam sekitar, maka kita semua boleh hidup sejahtera. Kita semua boleh jadi jaguh negara dan yang rugi adalah jaguh kaum masing-masing.
S.Arutchelvan 4.01am 27-12-2019
Anak buah aku Dari tadika, sekolah rendah, sampai Abis sekolah Kat sekolah cina. Pandai cakap cina. Kawan2 ramai cina Dan Muka pun mcm cina Pasal aku keturunan Belah Mak cina. Tapi Tetap islam sampai la Dia beranak pinak. Jadi Setakat Jawi 3/4 Muka Surat Ko bleh terpesong agama tU Elok pegi mampos la... Kaya Tapi bodoh.
ReplyDelete