SYARIKAT petroleum negara, PETRONAS, mencabar saman difailkan Kerajaan Sarawak bagi menuntut cukai jualan terhadap produk petroleum keluaran syarikat berkenaan.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ketika mengesahkan tindakan itu, berkata PETRONAS memfailkan pernyataan pembelaan syarikat itu, petang semalam.
Memetik laporan Borneo Post, beliau berkata, PETRONAS mempunyai tempoh sehingga Isnin ini untuk memberi maklum balas terhadap writ saman yang difailkan Kerajaan Sarawak di Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 21 November lalu.
“PETRONAS sudah memberi maklum balas dengan memfailkan pernyataan pembelaan mereka semalam dan ini bermakna perkara itu akan dibawa ke mahkamah. Sekarang kita menunggu mahkamah menetapkan tarikh pengurusan tuntutan itu,”katanya.
Sharifah Hasidah melahirkan keyakinan Sarawak mampu memenangi saman terbabit, berlandaskan fakta yang terkandung dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Memang sudah dijangka PETRONAS akan mencabar saman itu. Namun, kami sangat yakin boleh menang kerana cukai jualan adalah hak Sarawak mengikut MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami mengemukakan saman itu hanya untuk menguatkuasakan dan melaksanakan hak yang termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, jelas memberi hak kepada Sarawak untuk mengenakan cukai terhadap komoditi.
“Justeru itu, kerajaan negeri memutuskan mengenakan lima peratus cukai jualan negeri terhadap atas produk petroleum,” katanya tanpa menyatakan jumlah tuntutan terhadap PETRONAS itu.
No comments:
Post a Comment