Monday, March 2, 2020

Kes rasuah membabitkan ahli politik perlu diteruskan


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar menegaskan bahawa kes perbicaraan rasuah membabitkan ahli politik perlu diteruskan bawah pentadbiran baharu, terutamanya berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata beliau, sekiranya perbicaraan kes ini tidak dilakukan dengan telus, kredibiliti kerajaan serta institusi kehakiman akan terjejas.
“Kita tahu bahawa Perdana Menteri yang baharu sebelum ini telah pun menentang isu 1MDB. Oleh itu, beliau sebagai Perdana Menteri perlu memastikan bahawa kes ini berjalan dan tidak ada campur tangan,” kata Datuk Seri Akhbar ketika dihubungi menerusi program Buletin Awani Khas.

“Dengan adanya seorang hakim yang bijaksana dan juga amanah, sudah tentu kita harap perkara ini (campur tangan) tidak berlaku. Kalau tidak, maka kredibiliti dan institusi kehakiman akan terjejas,” katanya.
“Ini perkara yang patut dikekalkan. Kalau tak, saya rasa sudah tentu ia akan jadi buah mulut dan isu kepada pembangkang. Satu perkara yang bagus ialah bekas Perdana Menteri menyatakan beliau sendiri sanggup menerusi dan menerima apa sahaja yang diputuskan oleh mahkamah," tambahnya.

Namun, beliau bersikap optimis terhadap pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) kelapan.


“Saya rasa perkara yang baik akan diteruskan oleh beliau kerana pelan integriti nasional dan usaha-usaha yang dijalankan oleh agensi penguatkuasa kini merupakan usaha yang baik.

“Sudah pasti dengan kebijaksanaan PM baharu ini, beliau diharap akan berhati-hati kerana apabila dikerumuni golongan yang tidak berintegriti ini, kecuali kalau mereka dah taubat, maka sudah tentu kita akan menerima padah yang tidak baik kepada negara.”

Datuk Seri Akhbar Satar merupakan bekas Pengerusi Transparency International Malaysia (TI-M) dan kini Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...