Thursday, December 31, 2020

PUAD ZARKASHI INGATKAN ANNUAR MUSA – YANG RANCANG NAK BUBAR UMNO ADALAH BERSATU, BUKAN PKR ATAU DAP



Akan ada yang komen, kenapa perbezaan pendapat dibahas di luar. Pada mereka musuh akan untung jika berlaku perbahasan terbuka.


UMNO adalah parti besar. Ia kembali bangkit. UMNO wajar lebih terbuka. Jangan sapu sampah bawah carpet. Jangan apologatik, takut apa orang lain kata.


Di zaman media sosial tidak ada yang boleh disembunyikan. Maklumat, percakapan dan kenyataan mudah bocor.


Jika bukan orang lain bocorkan, orang sendiri akan bocorkan. Bukan rahsia pun 145 Ketua Bahagian UMNO menolak bersama PPBM untuk PRU ke 15.


Dua hari lepas Annuar Musa membuat posting terbuka. Dia tuduh seorang pemimpin yang ada platform resmi buat perkara yang berlawanan dengan dasar parti.


Annuar terlupa dia Setiausaha Agung BN. Dia pun suka mendahului Presiden


Annuar mendakwa parti sedang di bawa ke arah perpecahan bukan konsolidasi. Annuar tutup mata sebelah. Sebenarnya UMNO yang sedang ditikam dan dilemahkan dari belakang.


Sekarang ini sebok PPBM membeli dan memujuk Ketua Ketua cawangan UMNO untuk menubuhkan cawangan baru PPBM. Kenapa tidak dipujuk ketua PAS, PKR dan PAN?


Masa orang PPBM jadi MB, mereka gunakan jawatan ketua kampung sebagai tawar menawar tubuh cawangan baru. Sekarang guna PM desak MB UMNO beri kuota 60-40 untuk lantik Ketua Kampung dan ahli majlis.


Pemimpin akar umbi UMNO sudah lama sedar yang tikam UMNO dari belakang di PRU 14 adalah PPBM. Yang rancang bubarkan UMNO setelah PH berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP.


Walaupun PH sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam PPBM 2.0. PPBM melihat UMNO sebagai rival bukan kawan.


Sekarang mereka tidak boleh haramkan UMNO melalui perundangan. Tetapi melayan UMNO dengan cara melemahkan UMNO dan akhirnya kuburkan UMNO.


Annuar dakwa membatalkan keputusan “No Anwar No DAP” akan menjadikan kubu UMNO menjadi kubur. Itu hanya sentimen.


Hakikatnya lihatlah apa yang berlaku di Larut, di Mersing, di Tanah Merah dan di tempat tempat MP lompat. Mana mungkin Annuar Musa tidak nampak itu semua.


Di manakah Menteri Menteri lompat PPBM yang asalnya UMNO akan bertanding dalam PRU ke 15 nanti. Sudah tentu di kubu UMNO.


PPBM lebih terdesak dan perlu melemahkan UMNO jika PPBM mahu tambah kerusi Parlimen dan DUN di PRU ke 15 akan datang.


Sebab itu tidak timbul PKR dan DAP mahu bubarkan UMNO. Tendensinya, UMNO-PPBM akan bertembung. PPBM akan guna muslihat seperti yang berlaku di PRN Sabah.


Annuar Musa dakwa UMNO boleh tergolek kali kedua. Itulah rasional kenapa 143 Ketua Bahagian menolak kerjasama dengan PPBM kerana tindak tanduk PPBM mahu menggolekkan UMNO kali kedua.


Percayalah, kalau PPBM masih menghalalkan kaedah lompat parti untuk tambah MP PPBM, sudah tentu MP UMNO menjadi target untuk dipujuk bukan MP PAS.


Itu yang patut dikhuatiri oleh Annuar. Kalau Ketereh adalah kubu UMNO, maka parti mana yang akan menjadikannya kubur. DAP, PKR atau PPBM?


Kalau Annuar kata pemimpin akar umbi resah, mereka sebenarnya lebih mengetahui apa yang berlaku di bawah. Mereka terdedah dengan pujukan dan tawaran.


Semoga UMNO bukan umpama, terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau.


DR. PUAD ZARKASHI, AHLI MT UMNO.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...