Sunday, August 29, 2021

TIBA-TIBA ZIARAH KUBUR TIDAK LAGI MENJADI KESALAHAN LANGGAR SOP SELEPAS PM BERDOA DI PUSARA IBU BAPANYA

Tindakan seorang lelaki menziarahi kubur pada pagi Hari Raya Aidiladha 20 Julai 2021, mengundang padah apabila dia dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana dikesan melanggar SOP. Polis mendapati lelaki berkenaan menziarahi tanah perkuburan itu bersama dua kanak-kanak iaitu anak saudaranya masing-masing seorang perempuan berusia tiga tahun dan seorang lelaki berusia lima tahun.


2. Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook memberitahu lelaki berusia 21 tahun itu ditahan oleh Pasukan Khas Pematuhan SOP Fasa Satu Perintah Kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada pukul 11.40 pagi di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 12 dan 13. Kes ini menjadi ingatan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa ziarah kubur adalah perbuatan melanggar SOP dan tiada informasi lain berkenaan SOP ini pada masa itu.
 

3. Tiba-tiba, semalam, Sabtu 28 Ogos 2021, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad menegaskan, dakwaan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melanggar SOP semasa melakukan ziarah kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang semalam sebagai tidak tepat dan Ismail Sabri masih patuh terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan kerajaan.
 

4. Selepas kejadian pemuda dikompuan RM2,000 yang tular dalam media sosial, tidak kelihatan sebarang kes ziarah kubur atau ada terlepas gambar-gambar mereka yang ziarah kubur bergentayangan di dalam media sosial. Ini kerana rakyat menganggap SOP yang ditekankan oleh MKN pada masa itu meliputi semua masa dan semua keadaan. Dan ia ternyata tiada sebarang penjelasan berkenaan perkara ini sehinggalah selepas PM menziarahi kubur kedua ibu bapanya semalam.
 

5. Penjelasan MKN ialah tiada SOP mengenai ziarah kubur. Bagaimana mana boleh ada pihak mendakwa Perdana Menteri melanggarnya? SOP ini hanya ketika musim perayaan sahaja. Luar daripada konteks itu, aktiviti ziarah kubur masih boleh dilakukan oleh sesiapa asalkan mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan mencuci tangan.
 

6. Sejak gambar PM menadah tangan di kuburan orang tuanya tersebar, ia menjadi perdebatan hangat nitizen pada lantai media sosial dengan pelbagai kenyataan dan serangan terhadap sikap flip flop dan dolak dalik kerajaan terhadap SOP ziarah kubur yang melanjutkan lagi kisah “antara dua darjat”, antara rakyat marhain dan golongan kayangan dan kisah “Musang Berjanggut”.
 

7. Sebenarnya, tindakan PM menziarahi kubur semalam, telah membuka tirai baru untuk rakyat menziarahi kubur kedua ibu bapa, sanak saudara dan rakan taulan yang sebelum ini difahami tidak dibenarkan. Inilah “nikmat” yang dapat dikecapi oleh rakyat setakat seminggu Ismail Sabri memegang jawatan PM.
 

8. Kini menziarahi kubur bukan lagi perkara yang melanggar SOP seperti yang difahami sebelum hari semalam. Selama ini rakyat tidak tahu dan tidak dimaklumkan bahawa menziarahi kubur bukan lagi suatu perkara larangan di luar Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, sehingalah PM menziarahi kubur ibu bapanya di Temerloh. Tak dapat dipastikan samada ia suatu kebetulan atau jawapan balas untuk menutup keterlanjuran. Apapun saya ucapkan tahniah kepada seluruh rakyat kerana kejadian semalam itu, telah membolehkan semula rakyat menziarahi pusara.
 

TARMIZI MOHD JAM
Mantan Penyelaras Parlimen Parit
Penganalisis Politik Semasa
29 Ogos 2021

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...