Saturday, September 25, 2021

PANAS..!! INI KOS RENOVASI PEJABAT WAN AZIZAH SEMASA BELIAU PEGANG JAWATAN TPM DAHULU..!



Salam penghulu sekelian hari yang mulia.

Topik hari ini RENOVASI 

Melihat kepada helaian jawapan di Dewan Rakyat ini, tentang kos renovasi pejabat Menteri dan Timbalan Menteri pada era PN berkuasa saya jadi termenung. Terfikir-fikir, untuk apakah renovasi tersebut? Teruk sangatkah pejabatnya sampai perlu direnovasi sedemikian rupa? Sepanjang pengetahuan saya bangunan-bangunan di Putrajaya ini baharu sekitar 25 tahun usianya, tidak lebih. Putrajaya itu sendiri pun baharu berusia 25 tahun. Apa pun saya tidak boleh komen lebih, kerana saya tidak pernah menjejakkan kaki ke pejabat Menteri-menteri berkenaan sebelum ini. Mungkin rosak teruk, tandas bocor, siling juga bocor, atapnya hampir runtuh barangkali - sekadar menyejukkan hati. 


Sepanjang 22 bulan saya berkhidmat di pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, beliau tidak pernah sekali pun melakukan renovasi atau merancang untuk melakukan renovasi di pejabat beliau. Beliau mempunyai dua pejabat serentak, iaitu pejabat Timblalan Perdana Menteri di Tingkat 4 Blok Barat, Kompleks Perdana Putra dan pejabat Menteri Kemajuan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat di KPWKM. Kedua-dua pejabat itu tidak pernah direnovasi sepanjang beliau mentadbir.  


Pada pandangan saya kalau hendak direnovasi pejabat di KPWKM itu patut juga, kerana kedudukan tandas peribadi pejabat Menteri berada di bahagian depan pejabat. Jika kita masuk ke pejabat itu, mula-mula buka sahaja di kirinya adalah tandas. Namun itu tidak pernah menjadi masalah kepada Dr. Wan Azizah. Bahkan susunan meja kerusi juga adalah seperti hari pertama beliau melangkah masuk ke pejabat itu.


Jika hendak dikira beliau seorang wanita, seorang doktor pakar bertauliah, isteri bekas orang nombor negara dan pada masa itu menjadi orang nombor dua negara pula, beliau boleh sahaja bersikap cerewet dan gemar kepada kesempurnaan serta keanggunan. Tetapi tidak kepada wanita bernama Wan Azizah Wan Ismail ini. Beliau yang saya perhatikan adalah terlalu simple dalam segala hal namun tetap kelihatan anggun dan berwibawa. 


Masuk pejabat tidak ada masa bersembang kosong. Setiap pagi, melangkah masuk ke pejabat beliau akan mendirikan solat sunat Dhuha, tidak pernah lupa. Kemudian meluru ke meja kerja, senarai tugas dimaklumkan oleh SUS didengari dengan teliti. Setiap dokumen ditunjukkan oleh SUSK dibaca satu persatu dengan cermat. Setiap teks ucapan yang dibentangkan oleh Pegawai-pegawai Khas termasuk saya sendiri, akan diteliti agar dia faham apa yang akan diucapkan. Kalimah yang dia agak kekok menyebutnya akan diminta gantikan dengan lebih mudah. Mesyuarat dengan beliau ringkas dan padat melainkan agendanya memang banyak dan pelbagai. 


Pendek kata tiada masa yang terbazir di pejabatnya. Satu-satunya masa untuk kita bersembang hal-hal luar kerja dengan beliau ialah masa makan tengahari yang kadang kala beliau mengajak staff bersama-sama menikmati juadah yang ringkas. Itupun tidak lama, kerana Dr. Wan Azizah makannya sedikit. Minumnya berhemah dan teratur. Saya sendiri pula jangan haraplah hendak membuka cerita kerana hormat saya kepada beliau lebih bersifat seorang ibu. Ini kerana bonda saya seusia dengan Dr. Wan Azizah. Bagaimana saya bersembang dengan ibu saya begitulah saya bersembang dengan Wan Azizah. Lebih banyak mendengar daripada bercakap. 


Jika saya katakan bahawa dalam minda Dr. Wan Azizah, hanya rakyat dan khidmat, orang akan ejek 'melebih-lebih,' semua wakil rakyat memang begitu. Berlagak hanya khidmat dan hanya rakyat, tetapi hakikatnya 'hampeh'. Kepada mereka yang beranggapan demikian saya berikan beberapa peristiwa yang berlaku sekitar perhubungan saya dan Dr. Wan Azizah sebagai seorang Pegawai Khas. Mungkin dari segi pengucapan awam, Dr. Wan Azizah tidak petah dan lancar seperti orang politik lain. Tetapi pergerakan dan tindakan beliau pantas apabila melihat kepada keperluan semasa.  


Kakitangan JPM dan agensi pada masa pentadbiran PH mesti masih ingat peristiwa ketika bekas Timbalan Menteri Undang-undang, YB Hanipa Maidin tumbang di pentas kenamaan semasa perhimpunan bulanan JPM ketika YAB Perdana Menteri sedang berucap. Khalayak kakitangan menjerit kali pertama kerana terkejut YB Hanipa tumbang, tetapi mereka khasnya wanita, menjerit kali kedua kerana terkejut melihat Dr. Wan Azizah berlari dari tengah ke hujung pentas untuk memberi bantuan kecemasan kepada Hanipa. Saya adalah orang yang menyaksikan peristiwa itu dari jarak 5 meter. Mata ini menjadi saksi betapa cekapnya jari jemari Dr. Wan Azizah memberikan pertolongan kecemasan yang diperlukan dan dia megiringi Hanipa hingga ke pintu ambulan. Kemudian mengambil semula tempatnya di sisi PM yang terus menyambung ucapannya. Mata saya tertumpu kepada Dr. Wan Azizah sepanjang 10-15 minit kemudian. Bimbang jika beliau pula akan sesak nafas akibat berlari pantas. Namun percayalah tidak sedikit pun beliau termengah-mengah. Beliau tenang bagi tidak ada apa-apa yang berlaku. Ketahuilah pada masa itu usianya akan memasuki 67 tahun.


Suatu ketika saya mengiringi beliau turun ke program kawasan parlimennya. Ada penyampaian bantuan kepada rakyat di kawasan Parlimen Pandan. Seorang wanita membawa bersama-samanya anak perempuan sekitar 5 tahun usianya. Mata anak itu merah bengkak. Saya perasan mata budak itu dan dalam hati hanya terdetik, "budak ini sakit matakah?" Apabila sampai sahaja wanita itu di hadapan Dr. Wan Azizah, tidak sempat berbual mesra dengan ibunya Dr. Wan Azizah sekelip mata sudah duduk memeriksa mata anaknya. Siap pesan kepada si ibu supaya jumpa doktor kerana anaknya dijangkiti sekian-sekian. Lengkap dihurainya tentang simptom itu kepada si ibu. Jika tidak silap, beliau turut menyebut kebiasaan ubat yang patut diambil adalah sekian-sekian. Saya berseloroh dari belakang, "bertuah Puan kerana MP seorang doktor pakar mata." Dr. Wan Azizah hanya tersenyum memandang ke arah saya.


Selepas era 22 bulan di JPM, perhubungan saya dengan bekas boss terus berjalan. Saya katakan kepada beliau, "jika Kak Wan perlukan bantuan jangan segan minta tolong saya walaupun saya bukan staff secara rasmi lagi." Adalah beberapa pertolongan yang beliau perlukan saya segera usahakan dan tidak perlu disebutkan di sini. 


Suatu hari, Dr. Wan Azizah telefon saya hendak 'minta tolong'. 

"Kak Wan ada nak keluarkan zakat sikit ni. Ustaz ingat tak ada satu NGO yang memberi khidmat kepada masyarakat XYZ tu? Boleh bagi nombor contact dia orang tak?"


Saya terkedu dan terharu. Cerita tentang NGO itu telah berlalu hampir dua tahun yang lepas. Sekumpulan anak muda yang berpelajaran tinggi dan mampu menjawat jawatan tinggi, sanggup melakukan kerja-kerja tidak popular memberikan pendidikan asas kepada anak-anak kecil yang terbiar. Mereka bukan sahaja memberikan pendidikan percuma bahkan turut menyediakan makanan supaya budak-budak itu suka datang belajar. Dr. Wan Azizah masih ingat tentang NGO tersebut dan apabila ada bahagian daripada duitnya sendiri dia tidak lupa untuk menyumbang. 


Itulah serba sedikit catatan pagi ini seorang bekas Menteri yang tidak pernah renovasi pejabatnya tetapi dalam mindanya hanyalah - REFORMASI - khidmat dan rakyat. Semoga Allah SWT memberkati dan melindungi pasangan ini, yang kedua-duanya pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Sekian.


Putrajaya, 17 Safar 1433H.

Salam REFORMASI, 

Salam RENOVASI (negara).

Zamri Zainal Abidin

SUMBER  KLIK SINI










No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...