Monday, March 14, 2022

BN KEMBALI KUKUH, PH DAN PEMBANGKANG SEMAKIN MERANA..KENAPA..?


 Rangkul Kekuatan

" Pelik la aku. Yang buat masalah rasuah biliyun biliyun ni pemimpin UMNO. Yang rasuah dan salah guna kuasa pun banyak pimpinan UMNO. Yang khianati muafakat pun UMNO. Yang langgar nasihat YDPA untuk buat PRN masa pandemik dengan alasan bodoh pun UMNO. Tapi rakyat masih lagi pilih mereka."

Seorang rakan ambo yang merupakan penyokong dan pendokong tegar PH pagi-pagi lagi menghantar ambo mesej ini.

Ambo awalnya membaca dengan sebelah mata sahaja. Sebelah mata lagi tertutup dek kerana mengantuk. Maklumlah semalam meraikan hatrik CR7.

Dalam keadaan mamai, ambo membalas ringkas.

" Demo tau tak, sudah berapa game CR7 tak jaringkan gol. Sudah banyak mana dia miss. Ada khabar angin kata dia cedera. Rangnick pun tak mau guna dia semasa game melawan Man City dengan alasan taktikal.

Tau apa CR7 buat? Dia balik Portugal. 

Lepas tu apa jadi? 

Bang.Bang.Bang. Semalam CR7 Hatrik. Penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 807 gol.

Selepas game, Rangnick kata, kalau macam ni lah prestasi CR7, mungkin dia kena balik Portugal setiap minggu. "

Kawan ambo membalas hairan.

" Apa ko merepek ni Mi? "

Ambo jawab: 
"Kembalilah ke pangkal jalan. Kembali ke akar. Tempat kita bermula. Jawapan biasanya ada disitu. Demo tahu kenapa UMNO boleh menang walaupun banyak isu yang berkaitan salah laku pemimpin mereka? "

Soal ambo balik kepada beliau.

" Tak. " jawabnya ringkas

Beginilah mudahnya.

1- UMNO 

UMNO ini parti lama. Mereka masak dengan bagaimana caranya untuk bermain. Kita boleh katakan UMNO licik dan penuh muslihat namun itulah kelebihan UMNO.

Mereka tahu apa perlu dibuat dan bagaimana cara terbaik untuk melakukannya. 

UMNO juga menang kerana mereka punyai ahli yang sangat aktif di peringkat cawangan dan Bahagian.

Aktiviti mereka tidak terikat dengan pilihanraya. Setiap minggu dan bulan, ada sahaja aktiviti mereka. Setiap ahli UMNO pula merakyat. Mereka baik dan merapati masyarakat setempat.

Upacara keagamaan. Keraian. Kenduri kendara. Kematian. Musibah. Pasti ada wakil mereka yang tunjuk muka dan mengambil berat.

Tak dinafikan, perkara ini bukannya sempurna. Namun sedikit sebanyak keberadaan mereka di tengah masyarakat disedari ramai.

Bahkan mereka memilih calon mereka yang boleh menyumbang kepada tempat mereka sendiri. Calon ini dah dikenali dan harum di kalangan masyarakat setempat. 

Contohnya di Terengganu pada tahun 2018, ada sebahagian orang UMNO siap melakukan boikot kepada keputusan pimpinan mereka kerna memilih calon lain daripada calon yang mereka utarakan.

Akibatnya calon UMNO kalah. Tapi, orang UMNO tetap buat kerja.

Calon mereka kalah, tapi mereka tetap bekerja. Bilik atau pusat kegiatan UMNO subur dan meriah dengan aktiviti. Mereka faham isu lokal.

Jalan mana berlubang. Surau mana bocor. Tempat mana perlu dibangunkan. 

Isu peribadi pimpinan UMNO adalah isu yang mereka faham dengan baik. Apakah orang UMNO tak sedar?

Tak. Mereka sedar sepenuhnya. Cuma mereka faham sukar untuk mengubah budaya UMNO yang telah sebati dengan mereka. 

Namun perhatikan baik-baik, mereka sedang berubah. Pemimpin muda UMNO ramai yang berbakat dan mereka tahu mereka perlu mengubah imej buruk kepimpinan mereka.

Cuma mereka tidak boleh melanggar pemimpin lama. Kerna pemimpin lama ini sangat kuat cengkamannya. Sukar untuk mengubahnya kecuali mereka sendiri berundur dari politik. Maka mereka perlu sabar. 

Nah. Bandingkan pula dengan komponen PH.

2- PH

Hidup ke tidak cabang atau ranting mereka. Atau cawangan atau bahagian mereka?

Apabila ada pilihanraya seperti di Melaka dan Johor, pimpinan turun dari seluruh Malaysia.

Alhamdulillah. Mereka dari satu sudut bagus kerana komited dan tekun bekerja namun mereka tak faham langsung isu lokal. Mereka bercakap isu nasional dan antarabangsa.

Sedangkan rakyat nak dengar idea mereka terhadap kawasan mereka tapi sejam ceramah, sejam pemimpin PH bercakap isu nasional sampai ke isu Russia Ukraine.

Sampai orang kampung pun pening. Apa kaitan Vladimir Putin dengan kawasan kita ni?

Hanya turun sekadar melambai dan mengucap salam tak memberi kesan langsung kepada pemilih. Terkadang kesian kita melihat pimpinan dan ahli PH yang komited.

Mereka ke hulu ke hilir membuat aktiviti namun tidak berkesan dan yang tinggal hanya lelah.Bila mereka merasa lelah, mereka mula menyalahkan sesama sendiri dan mengungkit tentang kehebatan pengorbanan mereka.

Moga Allah rahmati pengorbanan mereka. Namun tanpa perancangan yang rapi, pengorbanan itu akan jadi sia-sia.

3- Pimpinan

Ramai juga mengungkit isu pemimpin.

Seperti isu Rafizi yang katanya merajuk dan kebudakan.

Namun kenapa Rafizi memilih jalan itu?

Rafizi memulakan Invoke dengan duit simpanan beliau. Mengikut apa yang diceritakan oleh Nik Nazmi dalam bukunya 9 May 2018 : Notes from the frontline, sejuta duit simpanan beliau, digunakan untuk memulakan INVOKE.

Apa yang penting melaui INVOKE ini?
Data! Pengetahuan terhadap setiap perincian di setiap kawasan.

Ketika tiada yang meramal kemenangan PH, beliau dan invoke meramalkannya melalui hasil data yang diperoleh. 

Apa yang beliau ramal daripada hasil kajian menjadi kenyataan. Amaran beliau tentang pemimpin tertentu dan peristiwa tertentu menjadi kenyataan.

Namun pandangan beliau akhirnya tidak diendahkan. Apabila beliau memilih untuk berehat, beliau dikatakan merajuk dan bukan pejuang. Walhal beliau telah membuktikan hasil kerja beliau.

Sebetulnya pada hemat ambo, beliau layak untuk merajuk kerana beliau telah berusaha dan bekerja.Bukan membodek pimpinan dengan ayat manis.

Ambo tidak pernah berjumpa saudara Rafizi namun ambo harap beliau akan kembali turun ke lapangan apabila tiba masanya. 

Di kalangan warga netizen, terutamanya ahli PKR, ramai menyuarakan bahwa mereka gagal teruk. Satu nama yang banyak disebut adalah Shamsul Iskandar yang merupakan Ketua Penerangan PKR.

Menyalahkan beliau sepenuhnya tidak kena juga kerna beliau merupakan orang lama PKR yang komited.

Namun perlu difahami, keadilan di dalam islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mungkin Shamsul Iskandar perlu diberi tugasan lain yang lebih sesuai dengan minat dan kebolehan beliau.

Baik PKR, DAP atau AMANAH, sesuatu perubahan segera mesti dibuat.

4 - Calon

Isu calon lagi teruk. Entah mana datangnya calon. Kebanyakan calon adalah dari lingkungan pemimpin atasan. Bukan dari cadangan tempatan.

Lagi teruk, tiada cadangan pun dari kawasan itu kerna cawangan atau ranting tak pernah hidup. Akhirnya pimpinan atasan memilih calon yang mereka rasa baik namun langsung tiada latar belakang tempatan.

Buat aktiviti kempen sampai tak tidur malam akhirnya kalah teruk. Kenapa? Bukan kerna orang tak nak memilih calon itu, tapi orang tak kenal pun calon. Tidak ada hubungan langsung dengan calon.

Lagi best, calon pulak menetap di Kuala Lumpur. Lepas kalah, ghaib. Bila pulak nampak muka? Bila pilihanraya seterusnya.

Di Johor baru-baru ini, ada kawasan yang telah diselia dengan baik oleh bakal calon. Beliau kelihatan melakukan kerja di situ. Akan tetapi beliau tidak dipilih oleh pimpinan untuk mewakili kawasan itu dan beliau diberikan kawasan lain. Beliau menyuarakan isu ini di media sosial beliau. Akibatnya beliau kalah.

Kebijaksanaan pimpinan atasan tidak boleh mengatasi hubungan yang sudah terjalin sekian lama yang diusahakan oleh calon tersebut.

Ini penting. Hubungan.

Orang kampung memilih orang yang mereka percayai. Orang yang selalu muncul di hadapan mereka. Bukan melihat kepada sijil apa mereka ada. Yang kelihatan hanya setahun sekali masa hari raya je.

5 - BN

UMNO juga hebat menjaga kerukunan dalam BN sehingga gabungan itu kelihatan solid bersatu walaupun banyak riak-riak perpecahan yang kelihatan. PH bagaimanapun kelihatan berantakan. Makin lama makin berjauhan. Makin lama makin banyak curiganya.

Setiap kali kalah kebanyakan ahli PH akan menyalahkan BN. Sudah-sudahlah menyalahkan BN.

Gunakan seluruh tenaga yang ada untuk menghidupkan cawangan dan bahagian serta menyiapkan calon untuk PRU. Itu lebih baik.

Dari satu sudut, kita kena akur dengan kehebatan BN.

Perlu ada sedikit rasa rendah diri untuk belajar dari kekuatan dan kelebihan yang ada pada BN.

BN sudah belajar dari pengalaman 2018 dahulu. PRU adalah tentang masa. Masa yang tepat.

Mereka boleh memilih bila-bila sahaja masa yang ada untuk membuat PRU kerna jentera BN sudah siap sedia.

PH bagaimanapun masih belum bersedia dan ada banyak masalah yang perlu diselesaikan segera.

6 - PN- Warisan - Muda- Pejuang

Parti ini semuanya lawan UMNO. Namun pelik bin ajaib apabila mereka memilih untuk masuk bertanding melawan PH dan UMNO dan secara automatik menjadikan undi pecah.

Undi yang pecah, memberi kelebihan besar pada UMNO.

Mungkin mereka lebih bijaksana dalam percaturan dan seni politik namun bagi kita orang kampung ni, kita faham satu perkara mudah sepertimana yang telah dilakukan semasa PRU 2018 dulu.

Jika kamu ingin melawan UMNO, kamu harus bersatu. Jika tidak, UMNO akan menang mudah. 

7 - Demi negara

Akhirnya yang penting apa?

Kita ingin melihat semua politikus berlumba untuk melakukan yang terbaik buat negara.

Apa yang berlaku pasca 2018 memberi kita pengajaran bahawa rakyat perlu peka terhadap politik dan perlu ada keberanian menyatakan kebenaran di hadapan muka politikus.

BN mantap pada jentera lokal mereka namun ada masalah pada integriti pimpinan nasional mereka.

PH pula punyai pimpinan nasional yang baik namun lemah dari sudut jentera lokal.

Siapa yang mampu mengatasi kelemahan terlebih dahulu akan menang. Dan sekarang kelebihan itu ada pada BN.

Malaysia perlukan Laksamana yang jujur dan setia pada kejujuran. Bukan Lanun yang meratah setiap inci kekayaan negara untuk kepuasan peribadi dan keluarga. 

Perkara ini bukan rahsia. Ia diketahui semua.

Siapa yang melihat ke dalam dirinya, memandang, menganalisa dan memperbaiki dirinya akan menjadi lebih kuat.

Akan tetapi siapa yang terus terusan melihat kelemahan orang lain akan lemas dalam fantasi mereka tentang kehebatan diri mereka sendiri.

Semoga tuhan merahmati bumi tanah bertuah kita ini.

Mohon maaf jika ada salah dan silap. 🙏Ambo dan kita hanya mahukan yang terbaik demi negara tercinta ini. 

Ya Rabb

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

Suzaime Zakaria

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...