Sunday, March 26, 2023

LAWATAN PMX KE ARAB SAUDI GAGAL KATA WALAUN..!


 LAWATAN PM KE ARAB SAUDI: APA ISUNYA YANG DIKECOHKAN?

1. Selama tiga hari, setelah hanya empat bulan menjadi PM, DSAI melakukan lawatannya ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023.

2. Pulang sahaja kelmarin, pembangkang membangkitkan tiga isu untuk menunjukkan lawatan PM dan delegasinya ke Arab Saudi gagal. 




3. Tiga isu tersebut ialah: (i) PM disambut oleh gabenor Jeddah sahaja, (ii) tidak dibawa masuk Kaabah; (iii) tiada pertemuan dengan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed Salman.

4. Bagi menyedapkan lagi cerita, mereka membandingkan kejayaan lawatan TSMY dengan DSAI. Kata mereka, semasa TSMY melawat Saudi, beliau dan rombongannya disambut oleh Raja Salman.

5. Realitinya ialah TSMY mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi hanya setelah setahun menjadi PM. Hasrat TSMY untuk bertemu Raja Salman secara bersemuka pada Mac 2021 gagal apabila bertemu secara dalam talian sahaja. 

6. Tetapi kerana perbezaan (atau mungkin dendam) politik, lawatan DSAI digambarkan sebagai membazir duit negara dan sekadar lawatan makan angin sahaja. 

7. Mengapa begitu kecil jiwa kita menilai kejayaan atau kegagalan lawatan PM DSAI ke Saudi? Tidakkah boleh kita melihat kejayaan PM dalam tempoh hanya 3 hari lawatannya ke Saudi? 

i. Mengadakan pertemuan dengan OIC dan Liga Muslim Dunia di Makkah.
ii. Menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.
iii. Mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana.
iv. Membincangkan isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama. 

8. Tidak berjaya lagikah lawatan DSAI dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh tiga hari lawatannya ke Saudi? Jika tidak berjaya lagi, saya tidak tahulah apa ukuran kejayaannya dari kaca mata pihak pembangkang.

9. Adakah tidak berjaya hanya kerana tidak dapat berjumpa dengan Raja Salman dan Putera Mahkota atau ada hujah lain yang lebih substantif?

10. Dalam hal ini, DSAI telah menjelaskan sebabnya. Sebenarnya, pimpinan Arab Saudi telah memohon supaya kunjungannya diperpanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu. Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

11. Namun, DSAI terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi. Menolak kerana pada 25 Mac beliau dan kabinetnya ada majlis berbuka puasa dengan Agong, 27 Mac lawatan sehari ke Kemboja, dan 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan 2 pemimpin besar China Xi Jinping & Li Qiang.

12. Tidakkah padat jadual itu? Tidakkah melibatkan perubahan besar jika ditangguhkan kepulangan dua hari lagi? Fahamilah kekangan masa PM kita yang bekerja kuat untuk negara.

13. Pembangkang juga mengkritik PM kerana tidak membawa bersama menteri agama? Kunjungan ini adalah berkaitan dengan hal ehwal semasa dan perdagangan, bukannya urusan agama. Jadi apa masalahnya?

14. Pembangkang juga mendakwa Raja Salman dan Putera Mahkotanya tidak suka PM kita. Faktanya ialah mereka adalah antara pemimpin luar pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada DSAI selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai PM pada 24 November 2022.

15. Pada 25 November, Raja Salman dalam perutusan tahniahnya menzahirkan agar rakyat Malaysia terus maju jaya serta makmur. Putera Mahkota pula menzahirkan agar rakyat Malaysia terus sejahtera di bawah kepimpinan PM yang baharu. 

16. Jadi, apa masalahnya dengan lawatan PM ke Arab Saudi setelah tidak dapat berjumpa dengan pemimpin mereka? Masalahnya ialah pemimpin pembangkang sengaja hendak memalukan PM dan bermain politik. 

17. Bermain politik pun janganlah sampai ke tahap dendam dan benci. Kita sama-sama perlu menjaga imej dan hubungan baik dua negara. 

18. Malaysia dan Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar. Pada tahun 2022, Arab Saudi merupakan destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai RM45.52 bilion (USD10.26 bilion). Itu belum mengambil kira lagi keperluan kuota haji yang kita perlu dari Arab Saudi setiap tahun.

19. Jika tidak berpuas hati juga dengan hasil lawatan dan kos lawatan PM ke Arab Saudi, tanya PM sendiri di parlimen. Setiap Selasa PM sedia menjawab. 

20. Jangan pula tidak datang masa itu. Dari situlah, baru rakyat tahu apa sebenarnya isu yang dikecohkan oleh pembangkang ini.

DATO DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Ketua Pengarah J-KOM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...