Friday, February 23, 2018

BN gagal agih kerusi punca kerajaan tidak berani bubar parlimen

 BN gagal agih kerusi punca kerajaan tidak berani bubar parlimen
Ramai menyangka Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan stabil dan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak dapat mengawal dengan baik parti-parti dalam pakatan itu.

Pengarah Jentera Pilihan Raya AMANAH Nasional, Dr. Hatta Ramli malam tadi mendedahkan perebutan kerusi antara parti-parti dalam BN kini amat bercelaru.

“Akibat persempadanan semua rekaan Umno, parti-parti bukan Melayu boleh lenyap dari muka bumi Malaysia selepas pilihan raya nanti,” kata beliau dalam ucapan merasmikan Jentera Pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Rantau Panjang di Lubok Jong.

Dengan melonggokkan kawasan pilihan raya supaya hanya satu kaum majoriti katanya, tiada lagi kawasan bukan Melayu yang boleh dimenangi BN.

“Sebab itu parti-parti bukan Melayu berebut-berebut untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu.

“Misalnya kawasan Cameron Highland menjadi rebutan antara MCA dan PPP,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mahu semua parti-parti komponen BN menyerahkan kepada Najib sepenuhnya dalam menentukan calon pilihan raya.

“Ini menunjukkan perundingan berkaitan kerusi di kalangan mereka telah gagal sepenuhnya.

“Inilah antara sebab sampai sekarang Najib tidak dapat menentukan tarikh pembubaran parlimen untuk memanggil satu pilihan raya,” katanya.

Suasana ekonomi yang tenat katanya menjadikan pihak BN begitu takut untuk berhadapan dengan pilihanraya.

“Bayangkan sejumlah 7 juta isi rumah iaitu 23 peratus daripada rakyat tertunggu-tunggu bantuan rakyat 1 Malaysia (BRIM) walaupun jumlahnya tidak seberapa.

“Sedangkan sebelum ini kita diwar-warkan kononnya tiada lagi kemiskinan dan kemiskinan tegar telah turun tidak sampai satu peratus,” katanya.

Negara juga katanya begitu bergantung kepada GST.

“GST baru dilaksanakan belum sampai tiga tahun, tetapi sekarang negara akan bangkrap kalau GST dihentikan.

“Sedang pentadbiran semua perdana menteri terdahulu boleh berjalan dengan baik tanpa GST.

“Rakyat dapat menikmati pelbagai kemudahan seperti subsidi barangan keperluan asas dan biasiswa pelajar hingga ke universiti,” katanya.

Mengenai AMANAH Rantau Panjang yang dipimpin orang-orang muda berpendidikan tinggi, beliau yakin itu petanda parti itu akan mencapai kejayaan.

“Walaupun parti ini masih baru, kita mendapat kepercayaan golongan professional seperti doctor dan peguam.

“Dulu ketika saya dalam parti lama, begitu lama kita tunggu untuk ada peguam dan golongan professional lain ikut serta,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...