Hutang peneroka sengaja dicipta supaya terhutang budi kepada Umno-BN
ARIF ATAN
Bebanan hutang yang ditanggung ribuan peneroka Felda selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sengaja dicipta sebagai cara Umno-BN hendak mengekalkan sokongan terhadapnya, dedah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Zahid Mat Arip.
Bekas pegawai khas kepada mantan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad mulai 2011 hingga 2016 itu berkata, ahli-ahli politik Umno yang menguasai Felda sengaja menggunakan hutang itu sebagai alat tukar ganti untuk undi.
“Jumlah keseluruhan hutang peneroka Felda kepada kerajaan kira-kira RM6 bilion. Kita dengar ada peneroka berhutang sehingga RM120,000. Umur 72 tahun masih ada hutang.
“Hutang ini sengaja dicipta dan dilonggokkan kepada peneroka dengan harapan mereka sentiasa rasa berhutang dengan kerajaan dan terhutang budi.
“Saya pernah tanya Isa Samad, bagaimana hutang ini boleh wujud dan tidak pernah selesai? Menjelang PRU-13, kata hutang tiada, tiba-tiba selepas pilihan raya masuk tahun 2014 dan 2015, hutang ini ada semula.
“Ini ‘trick’ kita. Kita perlu membina satu persepsi kepada peneroka Felda supaya terasa sentiasa berhutang dengan kerajaan kerajaan dan terhutang budi kepada kerajaan,” dedahnya dalam Ceramah Jelajah Selamatkan Felda di Felda Tenggaroh 2, Mersing kelmarin.
Beliau menyifatkan taktik lapuk itu diikuti dengan taburan janji pelbagai insentif kepada peneroka tanah rancangan itu serta pada masa sama jaminan jentera parti Umno ketika menemui peneroka menjelang pilihan raya.
“Jentera-jentera Umno akan turun ke bawah menerangkan kepada peneroka hutang ini jangan bimbang. Selagi Umno-BN memerintah, hutang ini tidak akan dibebankan kepada peneroka,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zahid memberitahu langkah penyelesaian hutang peneroka tersebut dalam perhatian serius Pakatan Harapan (PH).
“Dalam manifesto PH yang akan dilancarkan tidak lama lagi, kita akan santuni isu RM6 bilion ini. Isu RM6 bilion ini akan kita lupus kira.
“Najib dan Jho Low boleh berbelanja berbilion ringgit di Amerika, apalah sangat RM6 bilion kepada 112,637 keluarga peneroka.
“InsyaAllah, menang PH, saya dan Mazlan Aliman (Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Anak) akan bangkitkan terlebih dahulu isu ini sebelum pembentukan Kabinet,” tegasnya lagi.
Untuk rekod, sebanyak 54 kerusi Parlimen dan 92 Dewan Undangan Negeri (Dun) mempunyai kawasan Felda. BN pada PRU-13 lalu tewas dua kerusi Parlimen Felda iaitu di Raub dan Dungun masing-masing kepada DAP dan Pas.
Lima Parlimen yang mempunyai pengundi Felda tertinggi adalah Jempol, Kuala Krau, Rompin, Kota Tinggi dan Pengerang dengan kesemuanya kecuali Rompin diperuntukkan kepada Bersatu pada PRU-14.
No comments:
Post a Comment